KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui wujudnya sokongan terhadap pemimpin tertentu dengan melihat potensi mereka bakal menjadi pelapis kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, perkara ini semakin jelas apabila terdapat sesetengah ahli mulai ‘berkiblatkan’ kepada pemimpin tertentu demi kelangsungan politik masing-masing.
“Saya melihat gerakan ini sedang berjalan, saya akui perkara ini. Ia bukan membentuk ‘kem-kem’, tetapi ada di antara ahli yang cuba untuk berpaut dengan bergantung kepada pengaruh seseorang pemimpin.
“Mereka harus ingat, kita tidak mahu ada dalam kalangan ahli ini jadi terlalu ghairah untuk meletakkan taruhan menjadi orang Peja (Ahmad Faizal), Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainuddin), Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan pemimpin lain. Ada yang kata kena jadi orang Peja sebab dia antara orang yang berpengaruh dalam barisan kepimpinan tertinggi Bersatu, perlu jadi orang Hamzah kerana dia adalah Timbalan Presiden, jangan.
“Kita ini perlu jadi ahli rumah merah, bukan putih atau biru, dan kita mahu semua ahli Bersatu ini adalah orang Presiden, bukan mana-mana pemimpin yang lain,” katanya ketika ditemui Nexbyte, semalam.
Tanpa menamakan mana-mana individu secara spesifik, tegas Ahmad Faizal, perjuangan seseorang ahli itu perlu dilihat berdasarkan kepada idea dalam meningkatkan sokongan pengundi terhadap parti, bukan menjadi ‘penjilat’ kepada mana-mana pemimpin.
“Ada dalam kalangan ahli yang cuba meletakkan diri dia untuk mendapatkan sokongan seolah-olah membentuk ‘kem’, perlu memberi pengaruh kepada mana-mana pemimpin, perlu tunjukkan kehadiran di setiap program pemimpin itu ada, perlu menjadi pengikut setia, ini semua tidak perlu.
“Dengan saya, semua ini tidak perlu. Perjuangan perlu ikhlas dan jujur, apa cara yang boleh bangunkan parti, beri idea yang bernas supaya orang nampak kita sebagai seorang ahli Bersatu yang berkualiti,” ujarnya.
Ahmad Faizal dalam masa yang sama turut menafikan ‘keretakan’ hubungan bersama Hamzah selepas jawatan yang dipegangnya ‘dirampas’ Setiausaha Agung Bersatu itu.
Tegas beliau, hubungan mereka masih baik seperti sebelum ini dan kekal berhubung hampir setiap hari dalam menguruskan pengurusan parti.
“Hampir setiap hari Hamzah bersama dengan saya disebabkan kami berdua perlu bersidang, kalau tidak berjumpa pun kami akan berbual menerusi telefon. Bahkan, saya sendiri yang menjadi pencadang kepada pencalonan Hamzah sebagai Timbalan Presiden dan disokong Datuk Seri Ronald Kiandee.
“Sementara borang saya untuk tawarkan diri bagi jawatan Naib Presiden pula dicadang Hamzah dan disokong Ronald,” ujarnya. – UTUSAN






