KULIM: Trend penyalahgunaan dadah dalam tempoh tiga tahun ini merekodkan peningkatan ketara apabila seramai 192,857 orang terlibat pada tahun lalu sekali gus meletakkan kegiatan itu dalam keadaan membimbangkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berbanding tahun 2023, mereka yang terlibat penyalahgunaan dadah adalah seramai 145,526 orang dan 137,176 orang pula pada 2022.
Katanya, lebih merisaukan apabila julat umur individu 15 hingga 39 tahun paling tinggi terlibat iaitu sekitar 61 peratus dengan kesemua data dikumpulkan oleh empat pihak iaitu polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan dan pusat pemulihan swasta.
“Negeri tertinggi mencatatkan penyalahgunaan ini adalah Kelantan diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah yang keempat-empatnya merupakan negeri berhampiran sempadan antarabangsa.
“Jika mengikut daerah yang mencatatkan kes paling tinggi bagi 100,000 penduduk pula adalah Pendang, Kedah diikuti Kuala Krai dan Bachok di Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar Program AADK Bersama Masyarakat di Padang Serai, semalam.
Kata Saifuddin, dadah jenis ATS (Amphetamine Type Stimulant) terdiri daripada methamphetamine atau disebut syabu menjadi pilihan selain ekstasi dengan jumlah peningkatan sebanyak 34.4 peratus atau 103,990 kes berbanding tahun lepas.
Katanya, ketagihan dadah konvensional turut membimbangkan iaitu ganja yang meningkat 7,121 kes atau 63.4 peratus berbanding tahun lalu.
Sementara itu, Saifuddin berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap prosedur operasi standard (SOP) berkaitan penggunaan senjata api berkaitan insiden di Tanjung Rhu, Banting, Selangor, bulan lepas.
Katanya, pada masa yang sama, pihak polis juga sedang menyiasat sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang dalam pelaksanaan tugas semasa kejadian itu berlaku.
“Siasatan dijalankan dalam dua peringkat. Pertama, siasatan dalaman oleh Maritim Malaysia dan kedua, polis juga sedang menjalankan siasatan menyeluruh untuk menentukan sama ada terdapat sebarang perlanggaran dalam pelaksanaan tugas.
“Penggunaan senjata api dan SOP berkaitan akan diteliti dalam siasatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di Persiaran Karpal Singh, di George Town semalam
Sebelum ini, lima lelaki warga Indonesia, termasuk seorang maut telah ditembak di perairan Tanjung Rhu selepas didakwa merempuh bot peronda dan menyerang pegawai Maritim Malaysia bulan lalu.






