PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mencabar pembangkang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat jika benar-benar mahu menolak kepimpinannya.
Menurut Perdana Menteri, isu itu bukan kali pertama dibangkitkan pembangkang, khususnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan konkrit dilakukan.
“Ada cadangan Hamzah mahu bawa usul undi tidak percaya, silakan. Kita terbuka, ini proses yang betul. Sudah tiga tahun cakap mahu bawa, tetapi sampai sekarang tidak bawa pun,” katanya selepas menyampaikan amanat pada Seminar Pemantapan Organisasi dan Jelajah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
Kenyataan itu menyusul selepas Himpunan Turun Anwar yang dianjurkan Perikatan Nasional (PN) kelmarin di Dataran Merdeka, yang memberi bayangan akan membawa usul tidak percaya ke Parlimen.
Hamzah turut dilaporkan sedang mempertimbang untuk menghantar usul berkenaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Penganjur himpunan itu mendakwa kehadiran mencecah 500,000 orang, polis menganggarkan jumlah sebenar hanyalah sekitar 18,000 orang.
Mengulas himpunan itu, Anwar menyifatkan ia hanya dipenuhi sentimen kebencian politik tanpa sebarang cadangan membina untuk rakyat.
“Himpunan itu tiada asas fakta. Saya tanya, ada tak cadangan ekonomi, pendidikan, perpaduan, atau kestabilan negara? Tak ada. Yang ada cuma minta saya turun. Saya dah turun ke Muar, hari ini ke Wilayah, minggu depan ke Kelantan,” katanya berseloroh.
Anwar menegaskan, Kerajaan Perpaduan terbuka menerima teguran dan sentiasa berusaha menambah baik kelemahan pentadbiran.
“Kita tak sempurna, tetapi kita sedia dengar dan perbaiki mana yang perlu. Kita negara bebas dan demokratik. Tapi biar berasaskan fakta. Ada yang dakwa minyak naik, padahal minyak turun. Ini hanya mainan emosi dan sentimen,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil turut menempelak pembangkang kerana tidak mengemukakan usul undi tidak percaya secara rasmi di Parlimen, walaupun diberi peluang sejak sidang bermula 21 Julai lalu.
Katanya cara paling mudah menurunkan seorang Perdana Menteri adalah dengan membawa usul tidak percaya pada Sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung, dan melalui pilihan raya umum (PRU), bukannya melalui perhimpunan yang digembar-gemburkan dihadiri 500,000 orang.
“Perdana Menteri sudah sebut dari awal sebelum sidang Parlimen pada 21 Julai lalu agar bawa usul undi tidak percaya tetapi hingga sampai hari ini, tetapi setelah seminggu tidak ada siapa membawanya.
“Jangan jadi macam Langkah Sheraton yang telah memporak-perandakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Ketika itu bayangkan kita dapat tiga Perdana Menteri dan itu bukan satu keadaan yang baik untuk ekonomi dan pandangan masyarakat antarabangsa,” katanya pada Permukiman Komuniti Madani Semenanjung 2025 di Stadium Mini Bistari, Ayer Keroh di sini, semalam. – UTUSAN






