KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tekanan atau ugutan termasuk kemungkinan dikenakan tarif tambahan 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) susulan pendirian tegas negara dalam mempertahankan rakyat Palestin dan Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan dengan AS masih diteruskan, namun Malaysia kekal dengan prinsip dan tidak akan tunduk kepada tekanan termasuk berkaitan hubungan rapat dengan Iran dan sokongan terhadap Palestin.
“Tarif Malaysia masih lebih rendah berbanding Vietnam, Kemboja dan Thailand namun kita anggap tindakan AS itu sebagai unilateral dan tidak adil.
“Presiden Brazil, Lula da Silva pernah dikenakan tarif 50 peratus oleh AS kerana kelantangannya membela Gaza. Kita belum tahu hasil rundingan terakhir, tetapi Malaysia tidak akan berganjak walaupun ditekan kerana prinsip kita jelas.
“Ia adalah unilateral melanggar semua prinsip WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia) dan perjanjian sedia ada. Pendirian Malaysia adalah berasaskan prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat serta selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN






