KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk memulih dan memartabatkan semula institusi pondok di negara ini agar kekal menjadi benteng pertahanan akidah, akhlak dan sahsiah umat Islam sejajar dengan keperluan serta tuntutan semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu akan digerakkan menerusi kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan sekolah agama dan institusi pondok yang masih daif dapat dibangunkan semula.
Katanya, pembaharuan itu turut melibatkan penggunaan teknologi baharu agar institusi pondok tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dunia digital.
“Kita mahu tambah dengan teknologi baharu termasuk teknologi maklumat, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) supaya benteng ini kekal sebagai benteng terkuat yang boleh pertahankan akidah, akhlak dan sahsiah ummah.
“Sejarah membuktikan bahawa ketika sistem politik, ekonomi dan pendidikan negara tunduk kepada penjajah, institusi pondok kekal sebagai benteng terakhir mempertahankan jati diri umat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Anwar turut memaklumkan bahawa satu projek yang dinamakan Mushaf Ummah bakal dilancarkan di Nasyrul Quran, Putrajaya pada 8 Ogos ini.
Katanya, inisiatif tersebut merupakan salah satu ikhtiar untuk memperluas penyebaran al-Quran dan mesej Islam ke serata dunia menerusi terjemahan rasmi ke dalam 30 bahasa, selain memperkenalkan Mushaf Ummah sebagai lambang penyatuan dan usaha dakwah sejagat.
“Mushaf Ummah merupakan hasil idea dan kelolaan tokoh qiraat antarabangsa, Prof. Dr. Ahmad Isa al-Ma’sarawi yang juga mantan Syeikhul Qurra’ Mesir. Ia merupakan versi mushaf istimewa yang diterbitkan dengan kerjasama Yayasan Restu,” katanya.
Menurut Anwar, penerbitan mushaf ini juga merupakan jawapan berhemah terhadap insiden pembakaran al-Quran yang berlaku sebelum ini.
“Ini adalah respon balas kita terhadap insiden pembakaran Al-Quran sebelum ini. Kita jawab kejadian seperti ini dengan mencetak lebih banyak al-Quran sebagai pendekatan berhemah dan berhikmah dalam menyampaikan mesej dakwah.
“Kita bukan umat yang sarat dengan kemarahan tetapi umat yang penuh pengetahuan dan kearifan dalam menangani kritikan, salah faham serta pelbagai bentuk diskriminasi,” katanya. – UTUSAN






