GEORGE TOWN: Seorang pekerja kaunter di sebuah muzium dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan warga Korea Selatan, pada 31 Julai lalu.
Tertuduh, Chong Khay Tee, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut kertas pertuduhan, Khay Tee didakwa telah melakukan amang seksual dengan menyentuh kemaluan seorang kanak-kanak warga Korea Selatan berusia enam tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah muzium permainan kanak-kanak sebuah hotel di Batu Ferringhi di sini pada pukul 4 petang, 31 Julai lalu.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Jun Keong menawarkan jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh beserta beberapa syarat tambahan.
Katanya, antara syarat itu ialah, tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa atau mengganggu saksi pendakwaan selain perlu menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah sekiranya ada sehingga kes selesai.
Tertuduh dalam rayuannya bagaimanapun memohon agar mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan memandangkan dia hanya bekerja sebagai penjaga kaunter.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan berjumlah RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh untuk tidak menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan selain meminta tertuduh untuk menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah jika ada.
Pada masa yang sama, mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 6 Oktober depan sementara menunggu lantikan peguam dan serahan dokumen yang berkaitan. – UTUSAN





