KUALA LUMPUR: Seorang penceramah bebas dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan merogol dan amang seksual kanak-kanak berumur 13 tahun, empat tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 33, perlu menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini selepas Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan penangguhan hukumannya.
Hakim Noridah Adam membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes dan berpuas hati dengan keterangan saksi-saksi pendakwaan.
“Mahkamah berpuas hati selepas mendengar keterangan saksi-saksi. Tertuduh telah gagal menimbulkan keraguan dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.
“Oleh itu tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan,” katanya.
Bagi dua pertuduhan rogol, tertuduh telah merogol seorang kanak-kanak berusia 13 tahun di dalam sebuah kereta di kawasan parkir Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam pada pukul 3 dan 7 petang, awal Julai dan 27 Julai 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman sebat.
Bagi pertuduhan amang seksual, Muhammad Fathi telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di dalam sebuah kereta di kawasan parkir Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam pada Jun 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ayuni Jamri memohon tertuduh diberikan hukuman berat mengambil kira kepentingan awam dan kekerapan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak.
Muhammad Fathi yang tidak diwakili peguam bela merayu mahkamah memberikan hukuman ringan atas alasan pencari nafkah tunggal kepada tanggungan tiga isteri dan lapan anak yang masih kecil dan bersekolah.
Perbicaraan kes yang bermula pada September 2023 sehingga 22 Januari 2025 menyaksikan pihak pendakwaan memanggil enam saksi termasuk mangsa bagi memberi keterangan di mahkamah.
Prodising bela diri bagi Muhammad Fathi pula dijalankan 25 Julai 2025, dengan hanya tertuduh memberi keterangan sebagai saksi pembelaan. – UTUSAN






