SUNGAI PETANI: Seorang pekerja kilang ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal dengan mengumpan basikal percuma terhadap kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, kelmarin.
Suspek berusia 46 tahun yang merupakan pekerja kilang itu kini direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes yang berlaku di kawasan hutan Kampung Serukam, di sini.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, lelaki yang tiada sebarang rekod jenayah lampau itu ditahan pihaknya kira-kira pukul 9 malam tadi.
“Dalam kejadian itu, suspek mendekati mangsa dan tiga rakannya di kawasan Bukit Bintang Ramlee sebelum mengajaknya mengambil basikal percuma di sebuah rumah di Taman Sri Astana.
“Dia kemudian membawa semula mangsa ke lokasi sama dengan sebuah basikal sebelum menawarkan sebuah lagi basikal percuma dan membawa mangsa ke kawasan hutan berhampiran sebelum memaksa mangsa memegang alat sulitnya,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pemandu lori berusia 22 tahun turut direman lima hari bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Menurut Hanyan, mangsa yang masih bersekolah itu dikatakan mengenali suspek melalui aplikasi media sosial pada Rabu lalu dan berjumpa pada Isnin lalu.
“Difahamkan suspek yang masih bujang itu dikatakan sekali lagi mengajak mangsa keluar kira-kira pukul 8.30 malam semalam dan membawanya ke belakang sebuah rumah di Kampung Bakar Kapor, di sini lalu bertindak merogol mangsa,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang pulang ke rumah menceritakan kejadian itu kepada keluarganya sebelum membuat laporan polis dan dia dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – UTUSAN





