KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara (AGC) yang boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pendakwaan lima remaja dalam kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Kanak-Kanak sini pada Rabu.
Peguam keluarga Hamid Ismail berkata, beliau juga tidak boleh memberi sebarang maklumat tentang apa yang berlaku di dalam prosiding tersebut.
Katanya, mahkamah telah memberi mereka perintah gag order dan mereka turut tertakluk kepada Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, yang melarang identiti kanak-kanak diterbitkan.
“Ini undang-undang Malaysia, bukan sebab mana-mana VVIP ataupun kami disuruh. Jadi jangan salah sangka ini permainan orang atas ataupun saya nak menyembunyi apa-apa.
“Kita tunggu kenyataan dari AGC dan rujuk di sana,” kata beliau selepas prosiding tersebut.
Lima remaja perempuan itu didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir, bulan lalu.
Kes itu disebut di hadapan Hakim Elsie Primus, pada prosiding yang dijalankan secara tertutup.
Sementara itu, Hamid berkata, langkah seterusnya selepas prosiding hari ini adalah untuk mendapatkan inkues dari mahkamah.
Hamid berkata, mereka telah memfailkan permohonan untuk menjadi orang berkepentingan dalam inkues tersebut semalam.
“Inkues tetap berjalan. Mahkamah telah tetapkan 3 September sebagai permulaan tarikh prosiding,” kata beliau. – UTUSAN




