GEORGE TOWN : Dua buah premis makanan di dua pusat beli belah berasingan di sini disiasat susulan penularan satu rakaman video melibatkan penggunaan sijil halal yang mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, siasatan terpaksa dilakukan selepas pemeriksaan awal bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mendapati, kedua-dua premis itu tidak mempamerkan sebarang logo halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Tiada sebarang logo halal atau representasi yang boleh mengelirukan pengguna Islam ditemukan di premis makanan di pusat beli belah di Jalan Gurney dan premis makanan di pusat beli belah di Bayan Lepas di sini,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum itu, tular di media sosial mengenai penggunaan sijil halal yang dimiliki oleh sebuah premis makanan berasaskan nasi ayam yang diragui statusnya sehingga mencetuskan kebimbangan awam.
Menurut Jegan, hasil pemeriksaan di premis makanan di Jalan Gurney mendapati, seorang wanita warga tempatan yang dikenali sebagai ‘Sally’ bertindak sebagai penyelia premis berkenaan manakala premis di Bayan Lepas pula dikendalikan oleh seorang pekerja warga Myanmar.
“Kedua-dua pemilik premis ini kemudian dinasihatkan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa selain tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh memperdayakan pengguna mengenai status halal makanan yang dijual.
“Bagi memastikan pematuhan terhadap perkara ini, KPDN juga telah mengeluarkan dua Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) terhadap pihak yang terlibat,” ujar beliau.-UTUSAN





