PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas disyaki mengugut pakar patologi, Dr. Jessie Hiu berkaitan kes Zara Qairina Mahathir.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek berusia 61 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna kira-kira pukul 7 pagi tadi.
Beliau berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan mengenai kenyataan berbaur ugutan yang dimuat naik di laman Facebook menggunakan akaun bernama ‘Amung Kamaruddin’.
“Hasil siasatan mendapati akaun Facebook itu adalah milik suspek dan digunakan bagi mengeluarkan kenyataan ugutan jenayah serta penyalahgunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian terhadap seorang pakar patologi di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu.
“Turut dirampas ialah sebuah telefon bimbit jenama Redmi yang dipercayai digunakan bagi mengendalikan akaun Facebook tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Jauteh, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Dalam pada itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang melanggar undang-undang.
“Orang ramai digesa supaya berhemah dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan di media sosial. Jangan memuat naik sebarang kandungan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menimbulkan keresahan masyarakat.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan sedemikian,” katanya. – UTUSAN



