KUALA LUMPUR: Tanah yang terlibat dalam projek pembangunan Kampung Sungai Baru tidak mempunyai sebarang sekatan pemilikan selain pegangan pajakan adalah selama 99 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, bagi meningkatkan pemilikan Melayu dalam projek ini, beliau telah mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk merangka dan mengkaji pelaksanaan dasar serta inisiatif baharu termasuk potensi penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Selain itu katanya, syarat juga dibuat dengan menetapkan bahawa rumah ganti hanya boleh dimiliki oleh orang Melayu.
“Untuk meningkatkan peratusan pemilikan Melayu selaras dengan ketetapan dasar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), saya telah mengarahkan satu dokumen dasar digubal yang mewajibkan kepelbagaian jenis pembangunan khususnya di kawasan Kampung Sungai Baru.
“(Ia) Agar kategori seperti kondominium mampu milik Melayu, SOHO mampu milik Melayu, rumah kedai mampu milik Melayu dan ruang pejabat mampu milik Melayu, selain meneruskan projek Residensi Madani dan Residensi Wilayah dapat diwujudkan.
“Saya juga telah meminta pemaju untuk mewujudkan pasukan petugas khas yang meneliti kepentingan dan keutamaan orang Melayu dalam pembangunan Kampung Sungai Baru ini termasuk kerjasama dengan GLC,” katanya dalam sesi penerangan kepada ahli Parlimen di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zaliha berkata, turut dilakukan, penubuhan konsortium yang mengumpulkan syarikat pembangunan GLC yang lain bagi memastikan kepentingan dan pemilikan orang Melayu kekal terjaga.
“Pihak pemaju juga telah menyatakan keterbukaan mereka untuk meneruskan perbincangan terkait perkara tersebut,” jelasnya. – UTUSAN






