KUALA LUMPUR: Pelaksanaan hukuman rotan di sekolah masih dibenarkan, namun hanya boleh dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas semua bentuk intervensi disiplin murid dijalankan bagi menangani gejala buli.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, perkara itu telah dijelaskan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid yang menegaskan hukuman rotan adalah sebahagian daripada proses pendidikan dan perlu dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan sepenuhnya.
“Hukuman rotan hendaklah dijadikan sebagai langkah terakhir dalam menjaga disiplin murid setelah semua intervensi dilaksanakan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Halimah Ali (PN–Kapar) mengenai langkah konkrit KPM dalam menangani kes buli di sekolah yang semakin membimbangkan sehingga mengakibatkan kecederaan parah dan kematian.
Menurut Kah Woh, KPM memandang serius gejala buli dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana bentuk salah laku seumpama itu di institusi pendidikan.
Katanya, usaha membanteras buli dilaksanakan secara menyeluruh melalui beberapa pekeliling dan mekanisme sedia ada termasuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/2002: Pelaksanaan Program Sekolah Selamat, SOP 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid (Bil. 7/2011) serta Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli (Bil. 12/2023).
“Bermula 19 Ogos lalu, KPM melaksanakan audit keselamatan di seluruh negara bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah termasuk jadual bertugas warden, pemantauan aduan, bilangan warden, pencahayaan malam dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Setakat 26 September lalu, sebanyak 735 sekolah telah diaudit melibatkan sekolah berasrama penuh, asrama harian dan sekolah harian biasa.
Selain itu, Jawatankuasa Semakan Semula SOP Salah Laku Buli dan Seksual turut ditubuhkan bagi menambah baik garis panduan sedia ada supaya lebih sistematik dan menyeluruh.
KPM juga akan mengadakan Mesyuarat Permuafakatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 28 Oktober ini bagi menyelaras maklumat berkaitan salah laku disiplin, jenayah dan dadah dalam kalangan murid.
“KPM kini sedang menggubal semula Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) di bawah Akta Pendidikan 1996 bagi memperkukuh penguatkuasaan peraturan serta memberi panduan jelas kepada guru dalam mengurus kes disiplin termasuk buli,” katanya. – UTUSAN






