KUALA LUMPUR: Isu taraf kewarganegaraan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dan pertikaian dibangkitkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) adalah dua perkara berbeza.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, taraf kewarganegaraan melalui penaturalisasian hanya menggunakan prosedur seperti ditetapkan dalam Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada kena mengena dengan peraturan FIFA.
Beliau berkata, permohonan kewarganegaraan tidak mengguna pakai apa-apa kriteria ditetapkan dalam Bahagian Keempat Statut FIFA Regulation Governing the Application of the Statutes Standing Orders of Congress.
“Statut FIFA ini hanya terpakai sebagai elemen pematuhan kepada persatuan bola sepak untuk mendaftar pemain ma sing-masing. Ia perlu dipenuhi.
“Dalam perlembagaan ada satu seksyen namanya seksyen 20(1)(e) di mana menteri boleh guna kuasa budi bicaranya.
“Statut ini ada empat kriteria, iaitu pemain terbabit lahir di wilayah persatuan berkenaan; ibu atau bapa dilahirkan di wilayah persatuan berkenaan; nenek atau datuk dilahirkan di wilayah persatuan berkenaan atau sudah menetap sekurang-kurangnya lima tahun di wilayah persatuan berkenaan selepas berusia 18 tahun.
“Kriteria statut FIFA ini bukanlah sandaran digunakan sebagai kriteria yang ditetapkan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian seperti ditetapkan dalam Perkara 19 Perlembagaan,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Ketika menjawab soalan semasa Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Saifuddin berkata, dalam Perlembagaan juga ada menyatakan kuasa menteri untuk memberikan status kewarganegaraan.
Sehubungan itu beliau menggunakan kuasa yang diberikan di bawah Perlembagaan Persekutuan bagi mempertimbangkan permohonan tujuh pemain warisan untuk diberi kerakyatan Malaysia.
“Kuasa 20(1)(e) bermaksud, maksud pemastautin itu seperti dalam perlembagaan membenarkan keberadaan pemohon itu di luar pun bolehlah dianggap dia berada dalam negara.
“Begitu bahasa perundangan dalam buku ini, dalam kitab ini. Saya guna pakai perkara 20(1)(c) ini bagi memenuhi syarat pemastautin itu,” katanya menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) yang meminta kerajaan menyatakan proses kelayakan serta kriteria seorang pemain naturalisasi.
Ia berhubung kontroversi menyelubungi pemberian kerakyatan tujuh pemain bola sepak, yang diragui oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut Saifuddin, bagi warga asing dipertimbangkan untuk menjadi kerakyatan Malaysia melalui naturalisasi, dia perlu memenuhi Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, yang menghendaki orang itu membuat permohonan sendiri (bukan melalui mana-mana ejen), telah menetap di Malaysia untuk tempoh masa tertentu, menunjukkan tingkahlaku yang baik, dan mempunyai kemahiran dalam Bahasa Malaysia.
Permohonan itu juga perlu melalui proses seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Kewarganegaraan 1964.
Beliau menegaskan, semua tujuh pemain itu memenuhi semua syarat di bawah undang-undang Malaysia untuk di berikan kerakyatan, termasuk mempunyai kemahiran dalam bahasa Malaysia.
Saifuddin berkata, semua dokumen rasmi termasuk sijil kelahiran dikeluarkan JPN adalah sah, tulen dan mematuhi
undang-undang sedia ada.
“Tiada unsur pemalsuan, penyalahgunaan kuasa atau manipulasi dokumen dalam mana-mana permohonan mem babitkan pemain tersebut. Semua proses dilakukan secara telus mengikut undang-undang,” katanya.
Saifuddin menjelaskan isu dibangkitkan FIFA bukan berkaitan pemalsuan dokumen JPN, sebaliknya isu pematuhan kepada syarat yang ditetapkan oleh badan bola sepak antara bangsa itu. – UTUSAN






