KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak ke-12 memberitahu Mahkamah Koroner semalam bahawa pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, ditengking salah seorang ahli kumpulan Circle 19 sebelum kejadian tragis menimpa remaja itu.
Menurut saksi yang juga ahli kumpulan sama, dia tidak berada di dorm A3-6 ketika kejadian berlaku dan hanya mengetahui insiden itu selepas dimaklumkan oleh rakan lain. Dorm berkenaan difahamkan menjadi lokasi di mana beberapa senior menyoal siasat Zara berhubung kehilangan dompet dan penemuan lencana bendera di dalam beg galasnya.
Saksi tersebut, yang kini pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, berkata sebelum meninggalkan Zara di dorm A3-6, dia sempat menasihati junior itu supaya bercakap jujur.
“Saya tanya Zara, ‘kau jujur jak, betulkah kau ambil benda tu?’ tapi dia menafikannya. Lepas itu saya keluar dan pergi ke dorm A3-7 untuk tidur. Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu,” katanya seperti dipetik peguam Azhier Farhan Arisin selepas prosiding semalam.
Azhier Farhan Arisin ditemui media selepas tamat prosiding inkues yang memasuki hari ke-22 semalam.
Terdahulu, saksi kanak-kanak ke-12 memberitahu, sebagai senior, mereka diberi tanggungjawab menjaga kebersihan bilik dan keselamatan junior, namun menegaskan tiada mandat daripada pihak sekolah untuk mencari atau menghukum pelajar lain.
Sementara itu, peguam Shahlan Jufri memaklumkan saksi kanak-kanak ke-13 pula mengesahkan bahawa dia bersama seorang lagi pelajar senior diminta ‘menyelesaikan kes’ yang melibatkan Zara.
“Kami bergilir-gilir menyoal Zara tentang kes kecurian. Saya tanya dia, ‘Kalau kamu mencuri, kamu cakap iya saja,’ tetapi Zara hanya berdiam diri,” katanya.
Menurut saksi itu lagi, selepas tiada jawapan diterima, Zara dibenarkan pulang ke dorm A3-5 dan dia sendiri melihat pelajar itu berjalan balik sebelum meninggalkan dorm berkenaan.
Namun, sekitar pukul 4 pagi pada 16 Julai lalu, saksi dikejutkan oleh rakan yang memaklumkan “Ada orang jatuh asrama”. Ketika keluar melihat, dia mendapati Zara terbaring di bawah dan tidak sedarkan diri. Suasana di asrama ketika itu menjadi kecoh.
Dalam prosiding yang sama, saksi turut menjelaskan bahawa kumpulan Circle 19 hanyalah sekumpulan pelajar yang bersahabat sejak Tingkatan Satu, bukan kumpulan yang diwujudkan untuk menghukum atau membuli pelajar lain.
Mereka juga mengaku pernah menjadi mangsa buli senior serta sering dimarahi dengan kata-kata kesat ketika di Tingkatan Satu. Malah, beberapa ahli kumpulan itu pernah dipanggil guru disiplin kerana membawa telefon bimbit ke asrama.
Menarik perhatian mahkamah, saksi ke-13 turut mendedahkan wujudnya trend menoreh tangan menggunakan pisau pemotong (cutter) dalam kalangan pelajar sebelum ini.
Katanya, dia sendiri pernah membuat tiga torehan atau “barkod” di lengannya, kali terakhir sewaktu di Tingkatan Dua.
Inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina Mahathir itu didengar di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dan akan bersambung hari ini. – UTUSAN






