SHAH ALAM: Seramai 14 individu ditangkap kerana menghalang tugas penjawat awam dalam operasi pengosongan dan perobohan rumah di Kampung Papan, Pandamaran sejak Isnin lalu hingga semalam, namun kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan awal.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan melibatkan 11 lelaki dan tiga wanita, yang semuanya anggota organisasi bukan kerajaan (NGO) dan tidak termasuk penduduk kampung. Lebih 100 anggota, termasuk Unit Pasukan Penggempur Ringan (LSF), digerakkan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman sepanjang operasi.
“Selain polis, terdapat agensi lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor, pekerja kontrak dan bailif mahkamah terlibat. Kita membuat persiapan rapi untuk mengelakkan sebarang kekecohan di kawasan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, semalam.
Nexbyte melaporkan lebih separuh penduduk diarahkan keluar dari rumah di kampung berkenaan adalah warga emas yang menetap di kawasan tersebut sekurang-kurangnya 40 tahun.
Sejak operasi hari pertama pada Isnin lalu, lebih 70 rumah sudah dirobohkan melibatkan 83 daripada 181 rumah yang masih berpenghuni. Namun, 44 rumah mendapat perintah penggantungan sementara (injunksi) yang akan disebut semula pada 8 Disember ini.
Sementara itu syarikat lantikan kerajaan negeri, Melati Ehsan Consolidated Sdn. Bhd. (MECSB) bersedia menyerahkan tanah seluas kira-kira 2.8 hektar dan beberapa lot bagi menyelesaikan isu perobohan dan menyediakan penempatan semula penduduk secara teratur dan mampan.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, kerajaan negeri menawarkan penempatan sementara melalui Skim Smart Sewa kepada peneroka yang memerlukan pada kadar berpatutan. “Dengan tanah seluas tujuh ekar ini, kerajaan negeri kini boleh merangka pembangunan bangunan pangsapuri sebagai penyelesaian jangka panjang kepada peneroka yang terlibat,” katanya.
Isu pengosongan timbul apabila tanah seluas kira-kira 38.45 hektar diberi milikan kepada anak syarikat Bank Negara Malaysia, TPPT Sdn. Bhd., pada 1995. Pada 2003, Jawatankuasa Penduduk Jalan Papan membantah tawaran rumah kos rendah oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK).
“Tahun 2008, notis perobohan dikeluarkan, namun ditangguhkan untuk rundingan semula antara penduduk dan pihak berkepentingan. Pada 2018, kerajaan negeri menetapkan MECSB menyediakan komponen Rumah Selangorku sebagai sebahagian pelan penyelesaian, diikuti beberapa siri rundingan antara kerajaan negeri, pemaju dan wakil penduduk,” katanya.
Pada 2020 MECSB memfailkan saman pengosongan terhadap peneroka sebelum Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menawarkan rumah teres berharga RM99,000 dan Rumah Selangorku
Jenis B berkeluasan 800 kaki persegi, namun pada 2025, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengesahkan perintah pengosongan terhadap 48 peneroka yang hadir ke mahkamah. – UTUSAN






