KOTA KINABALU: Seorang senior dikenali dengan gelaran Kak M mengaku di Mahkamah Koroner di sini semalam dia pernah bersemuka dengan pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir atas dakwaan remaja terbabit dan rakan-rakannya mengejek adik senior itu.
Kak M yang juga saksi kanak-kanak ke-30 dalam keterangannya memberitahu, dia bersemuka dengan Zara Qairina pada penghujung Mei lalu.
Kak M tidak tinggal di blok sama dengan Zara Qairina (Blok A, Rabiatul Adawiyah) sebaliknya duduk di blok berlainan (Blok B, Sumaiyyah).
Sebelum ini, tular di media sosial rakaman audio perbualan antara Zara Qairina dengan ibunya, Noraidah Lamat mengenai Kak M yang pernah mengeluarkan perkataan ‘kalau aku touch-touch kau ini, berdarah kau ni’ kepada remaja terbabit dan rakannya.
Menurut kenyataan dikeluarkan pasukan peguam yang mewakili Noraidah, saksi itu berkata dia bertindak bersemuka dengan Zara Qairina dan dua rakannya selepas mengetahui mereka mengejek adiknya yang juga tinggal di blok asrama sama dengan pelajar tingkatan satu itu.
“Saksi berkata mereka (Zara Qairina dan dua rakannya) dikatakan menyindir pelajar junior termasuk adik saksi. Pada malam tersebut (pada penghujung Mei), saksi bersemuka dengan ketiga-tiga pelajar junior tersebut untuk bertanya sama ada mereka mempunyai masalah dengan adiknya.
“Zara dan para pelajar junior hanya diam dan saksi menegaskan supaya mereka tidak mengganggu atau menyentuh adiknya. Saksi berkata tiada sebarang kekerasan berlaku.
“Saksi menyatakan itu kali pertama dan terakhir dia berjumpa dengan Zara. Selain malam tersebut, saksi tidak pernah berbual atau berhubung secara peribadi dengan Zara,” jelas kenyataan itu.
Tambah saksi inkues ke-30 itu, pada malam 15 Julai lalu (malam Zara Qairina disoal siasat senior), Kak M berkata dia berada di dorm sendiri dan tidur sekitar pukul 11 malam sebelum bermalam di dorm rakan lain.
Menurut saksi inkues kelapan, Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd. Sagap, sewaktu siasatan dijalankan sendiri oleh pihak sekolah selepas kejadian malang yang menimpa Zara Qairina, Kak M mendakwa dia mengeluarkan kenyataan tersebut kerana emosinya tidak stabil kerana biliknya semak, kotor dan selepas mengetahui adiknya diejek.
Azhari dalam keterangannya berkata, Zara Qairina dan pelajar lain didakwa mengejek adik perempuan ‘Kak M’ yang berada di tingkatan dua, dengan menulis nota: ‘Dia seorang yang sok orku (berlagak orang kuat), sengaja takutkan form 1 (tingkatan satu), padahal baru juga junior’.
Menyambung keterangannya, Kak M memberitahu bahawa dia tidak begitu mengenali Zara Qairina sebaliknya mengenali seorang pelajar junior yang juga kawan baik remaja terbabit.
Menurutnya, kawan baik Zara Qairina itu, peramah tetapi suka memutar belit cerita.
Ujar saksi itu, dia pernah berselisih faham dengan kawan baik Zara Qairina apabila rakan remaja itu menuduhnya sombong dengan junior.
Saksi mengakui terdapat pelajar junior tidak suka kepadanya kerana dia bersikap tegas dan garang terutamanya terhadap pelajar junior tidak mengemas bilik atau menjaga kebersihan asrama.
Prosiding yang didengar oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung hari ini. – UTUSAN






