SHAH ALAM: Perwakilan MIC pada Perhimpunan Agung MIC Ke-79 semalam sebulat suara meluluskan usul menamatkan penyertaan parti itu dalam Barisan Nasional (BN) dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Resolusi itu dicapai menerusi usul ketiga dikemukakan kepada perhimpunan selepas perbincangan yang mendalam dan teliti dalam kalangan ahli akar umbi, pimpinan peringkat bahagian, cawangan serta kepemimpinan MIC negeri dan Pusat, pemegang jawatan serta perwakilan dari seluruh negara.
“Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan ke-79 ini dengan sebulat suara bersetuju bahawa kerjasama sedia ada tidak lagi memberikan ruang yang mencukupi untuk MIC memainkan peranan efektif bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat India dan menyumbang secara bermakna kepada pembangunan nasional di tanah air.
“Mesyuarat sebulat suara bersetuju MIC bersedia menamatkan penyertaannya dalam gabungan BN, tertakluk kepada proses dan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Parti MIC serta untuk memohon secara rasmi menyertai PN,” kata usul tersebut.
Seramai 1,808 perwakilan hadir pada Perhimpunan Agung MIC. Turut hadir adalah wakil parti yang menyokong BN, namun tiada wakil rasmi daripada gabungan itu hadir.
Nexbyte sebelum ini melaporkan jangkaan MIC keluar daripada BN dan menerima pelawaan menyertai PN.
Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas perhimpunan agung itu, Presidennya, Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC menerima usul untuk meninggalkan BN selepas disokong oleh perwakilan secara sebulat suara.
Bagaimanapun, katanya, CWC hanya akan memutuskan perkara itu secara rasmi resolusi tersebut dalam masa terdekat untuk meninggalkan gabungan yang disertainya hampir 80 tahun itu.
Tambah beliau, CWC kemudian akan menentukan penyertaan parti dalam mana-mana gabungan sama ada PN atau Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, keputusan CWC juga tidak memerlukan sebarang pindaan dalam perlembagaan parti yang menuntut mesyuarat agung luar biasa diadakan selepas perwakilan memberi mandat penuh kepada kepemimpinan.
“Terdapat usul yang dipersetujui oleh perwakilan iaitu memutuskan hari ini untuk keluar daripada BN dan menyertai PN.
“Untuk meninggalkan BN, perwakilan memberikan mandat penuh kepada CWC dan Presiden untuk membuat keputusan. Cuma untuk diputuskan adalah bila dan siapa gabungan baharu,” katanya. – UTUSAN






