KOTA KINABALU: Politik Sabah memasuki tempoh paling getir dalam tempoh 48 jam terakhir menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan pelbagai serangan saat akhir mula dilancarkan antara sesama calon dan parti bertanding.
Minggu terakhir kempen PRN menyaksikan serangan berbentuk penyebaran berita palsu di media sosial bagi memburukkan pihak lawan di samping taktik menyerang peribadi.
Misalnya penularan satu video kononnya menggambarkan kemewahan seorang pemimpin parti dan penyebaran poster provokasi berbaur hasutan di samping drama keluar masuk parti dalam kalangan ahli dan pengikut parti.
Tidak kurang juga calon yang menuduh lawannya mengumumkan projek pembangunan bersifat gula-gula politik manakala ada mempertikaikan hubungan politik lawan dengan kepimpinan Pusat dan mendakwa mereka gagal memahami realiti kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan berkata, serangan terakhir dalam tempoh 48 jam bukan suatu perkara yang mengejutkan.
Namun katanya, strategi politik yang bersifat fitnah atau tohmahan sudah tidak lagi berkesan ke atas pengundi Sabah, yang disifatkannya semakin matang dan rasional dalam menilai calon.
Jelasnya, pengalaman keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 menjadi pengajaran kepada rakyat agar tidak terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan.
“Ini bukan kali pertama dan bukan baharu dalam politik, terutamanya di kawasan Karambunai ini. Sebab Karambunai ini tanah kelahiran saya, saya anak tempatan di sini.
“Saya sudah tahu akan ada pihak-pihak yang cuba menyerang dalam bentuk peribadi dan sebagainya, tetapi saya juga tahu dan yakin rakyat di Sabah ini adalah rakyat yang bijak menilai,” katanya kepada Nexbyte.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sebanyak 53 kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima 85 laporan sepanjang tempoh kempen PR Sabah yang bermula 15 November lalu.
Katanya, antara kesalahan itu termasuk beberapa kes salah guna media sosial dan kes perbuatan khianat, terutama vandalisme membabitkan poster, bendera serta bahan kempen lain. – UTUSAN






