PETALING JAYA: Sebanyak 12 lukisan bernilai bernilai AS$30 juta atau RM123,000,000 yang dibeli bekas peguam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan akan dikembalikan kepada Malaysia.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, perkara itu merupakan antara hasil perbincangan bersama Jabatan Kehakiman (DOJ) AS dalam minggu ini.
Katanya, SPRM mengetuai dua siri perbincangan rasmi bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta DOJ di Washington DC dan New York pada 9 dan 11 Disember lalu yang antaranya menyentuh usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB yang masih berada di luar negara.
“Antara perkara utama yang dibincangkan adalah berkaitan pemulihan aset 1MDB melibatkan usaha mengembalikan lukisan-lukisan bernilai tinggi yang telah dibeli Jasmine Loo dan kini berada di bawah kawalan DOJ,” katanya dalam kenyataan semalam.
SPRM berkata, dianggarkan 12 lukisan milik Jasmine Loo dipegang oleh Christie’s dan Sotheby’s Auction House AS antaranya Pablo Picaso (1961), L’Ecuyere et les clowns; Joan Miró, (1953) Composition; William H. Bailey (b.1930), Still Life; Alexander Calder (1898-1976), Studies for Sculpture dan Henri Matisse (1869-1954), Femme Assise kesemuanya bernilai melebihi AS$30 juta.
“Hasil perbincangan ini, SPRM bersetuju untuk mengembalikan lukisan ini kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Perbincangan yang diketuai Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin bertujuan mengeratkan kerjasama dan kolaborasi di peringkat global antara dua agensi penguatkuasaan serta bertujuan memperkukuh kerjasama penyiasatan, proses bantuan perundangan bersama (MLA).
SPRM berkata, selain itu juga dibincangkan isu penyanyi rap Pras Michel yang dijatuhi hukuman 14 tahun penjara kerana menerima AS$120 juta yang sebahagiannya berkaitan 1MDB.
“Pihak DOJ memaklumkan, masih terdapat aset milik Jho Low di Singapura yang tidak termasuk dalam US Settlement Agreement. Sementara itu aset di Hong Kong, Singapura dan Perancis telah dilupuskan dan hasilnya akan dipindahkan ke Amerika Syarikat,” katanya.
Antara isu-isu lain yang turut dibincangkan adalah Tim Leissner, Tarek Obaid dan PetroSaudi, Riza Aziz dan White and Case.
“FBI dan DOJ menegaskan komitmen penuh terhadap kerjasama rentas sempadan serta koordinasi antarabangsa dengan SPRM, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dipertingkat bagi memastikan semua aset yang masih berada di luar negara dapat dijejak, disita dan dipulihkan mengikut undang-undang,” katanya. – UTUSAN





