PETALING JAYA: Kerajaan memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus kepada pengguna kenderaan persendirian bersempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas pada 25 Disember.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian diskaun tol itu akan berkuatkuasa selama dua hari iaitu pada 23 hingga 24 Disember ini.
Katanya, insentif itu akan dilaksanakan di semua plaza tol kecuali pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Plaza Tol Tanjung Kupang dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan menanggung implikasi kewangan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol terlibat.
“Pemberian diskaun tol 50 peratus ini diharap dapat meringankan sebahagian daripada beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga sempena krismas atau bercuti bersama keluarga sempena musim cuti sekolah.
“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Madani dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat semua peringkat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexander berkata, pemilihan tarikh itu merupakan sebahagian daripada inisiatif penyuraian trafik musim perayaan dan cuti sekolah terutama pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar.
Katanya, ia juga dapat mengoptimumkan pengoperasian lebuh raya di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuh raya.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan
peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya melalui apps TuJu Highway Navigation App LLM dan aplikasi MyPLUS-TTA untuk perjalanan yang selesa dan lancar.
“Pengguna lebuh raya juga digalakkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan serta perlu menitikberatkan aspek keselamatan
dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya,” katanya. – UTUSAN






