PETALING JAYA: Perjuangan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memastikan agama, bangsa dan tanah air tidak berpindah milik ke pihak lain akan diteruskan selagi beliau masih bernyawa walaupun ada pihak yang mencadangkannya berundur daripada arena politik.
Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mampu memenuhi nasihat dirianya agar bersara, berdiam diri atau menumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibadah kerana mempunyai tanggungjawab besar terhadap negara.
“Umur saya sudah melangkau satu abad. Mungkin ada yang berpendapat pandangan saya sudah tidak relevan. Itu terpulang kepada penilaian masing-masing.
“Namun selagi nyawa dikandung badan, saya tidak akan berhenti berusaha dan berjuang untuk memastikan bangsa saya, agama saya dan tanah air saya tidak berpindah milik ke tangan orang lain.
“Katalah apa saja. Suruh saya bersara, duduk di masjid, beribadat dan lupakan semua ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dr. Mahathir enolak tanggapan bahawa beliau sepatutnya berdiam diri kerana sejarah perjuangan generasinya menuntut beliau untuk terus bersuara.
“Tidak mungkin saya berdiam diri. Jika dahulu, generasi saya dan yang sebelum saya berjuang menentang Malayan Union, pengganas komunis dan neokolonialisme.
“Adakah saya akan berputus asa dan membiarkan tanah air saya dirampas serta bangsa saya dipinggir dan dijajah semula?” katanya.
Dr Mahathir yang digelar Bapa Pemodenan Malaysia dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.
Beliau merupakan seorang doktor dan ahli politik yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat (1981-2003) dan ketujuh (2018-2020). – UTUSAN






