BUTTERWORTH : Dua individu yang dipercayai pasangan kekasih mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah rumah, lebih dua bulan yang lalu.
Tertuduh, Mohammad Zaini Yusoff, 26, dan Nurul Natasha Mohammad Shukri, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka, bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa telah melakukan pecah rumah dengan niat untuk mencuri di sebuah rumah di Taman Eco Meadows, Bukit Tambun, antara pukul 2.30 hingga 5 pagi, pada 30 September lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dipenjara sehingga lima tahun serta dikenakan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan mengenakan syarat tambahan iaitu mereka perlu melapor diri di balai polis setiap hari selain menetapkan 14 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu lantikan peguam.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, Nurul Natasha turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyimpan harta curi iaitu enam utas jam tangan pelbagai jenama bernilai RM20,000 yang dimiliki oleh seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di hadapan ruang solat wanita di tingkat dua sebuah kilang di Jalan Bandar Cassia, Taman Perindustrian Batu Kawan, kira-kira jam 4.45 petang pada 31 Oktober lalu.
Atas kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan tersebut, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan turut menetapkan 14 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Laporan media pada 22 Oktober lalu menyebut, polis berjaya menahan lima individu termasuk seorang wanita kerana disyaki terbabit dalam 28 kes pecah rumah khususnya melibatkan kediaman mewah di tiga daerah dalam Seberang Perai sehingga mengakibatkan kerugian melebihi RM100,000.-UTUSAN





