BUKIT MERTAJAM : “Semasa dia (suspek) lalu depan saya tadi, dia ‘dan’ (sempat) tengok saya. Dia cakap: ‘Saya minta maaf ayah.’ Lebih kurang macam itulah.”
Itu kata Ishak Man, 76, bapa kepada Wan Khairul Safinah, 44, yang mati dipercayai akibat dibunuh oleh suaminya di rumah mereka di Seberang Jaya, beberapa hari lalu.
Ishak yang juga seorang pesara kerajaan berkata, menantunya itu sempat berkata demikian ketika dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Seberang Jaya sambil diiringi beberapa anggota polis tengah hari tadi.
Jelas Ishak, dia tidak begitu rapat dengan menantunya itu manakala anaknya pula seorang yang pendiam serta tidak banyak bercerita mengenai kehidupan mereka.
Katanya, kali terakhir dia bercakap dengan menantu itu ialah beberapa bulan lalu dan lelaki berusia 28 tahun itu mengadu kepadanya bahawa dia tidak senang duduk apabila melihat arwah bercakap dengan lelaki lain.
“Masa itu saya cuma beritahu dia (menantu) supaya bersabar. Itu sahaja,” katanya yang memaklumkan, jenazah anaknya itu akan dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Suka Menanti, Alor Setar, Kedah.
Tambah Ishak, ini kali kedua dia kehilangan anak selepas anak sulungnya yang juga abang kepada Wan Khairul Safinah meninggal dunia hampir 20 tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.
“Apapun yang berlaku, saya reda dengan ketentuan Ilahi. Cuma, jika benar menantu saya yang melakukan perbuatan itu, saya harap dia menerima balasan yang setimpal,” katanya.
Wan Khairul Safinah yang juga anak kedua daripada tiga beradik itu mempunyai lima anak menerusi perkahwinan bersama suami pertama dan difahamkan, suspek merupakan suami ketiga kepada arwah yang telah dinikahinya kira-kira dua tahun yang lalu.
Tragedi menyayat hati itu terbongkar selepas suspek mengaku membunuh dan menyimpan mayat isterinya di dalam bilik tidur mereka selama empat hari sebelum tampil menyerah diri di balai polis berhampiran Seberang Jaya, pagi semalam.-UTUSAN






