KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram melebihi RM2.1 juta.
Beliau adalah PTD pertama yang didakwa di mahkamah dan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya berkait tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Turut didakwa atas tuduhan serupa di mahkamah berlainan ialah isteri ketiganya, Salwani Anuar @ Kamaruddin.
Di hadapan Hakim Azura Alwi, Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM969,000 yang didepositkan ke dalam akaun Bank Muamalat miliknya di antara 7 Mei dan 25 Jun 2025, di cawangan utama bank itu di Jalan Melaka di sini.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Muhammad Hafizuddeain didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1,153,400 yang didepositkan dalam akaun Maybank miliknya.
Jumlah keseluruhan wang hasil aktiviti haram didakwa diterima bekas PTD itu ialah RM2,122,400.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025 di Menara Maybank dan Maybank cawangan Bukit Damansara di sini.
Pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan dibantu Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, Farah Yasmin Salleh, Natrah Fareha, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Maziah Mohaide.
Muhammad Hafizuddeain diwakili peguam bela, Aizul Rohan Anuar dibantu Muhammad Kausar Mohd. Khairi.
Sementara itu, di hadapan Hakim Rosli Ahmad, Salwani, 27, yang hadir berkerusi roda akibat bisul di paha kiri turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000. Salwani diwakili peguam bela, Fahmi Abd Moin.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh sebagai Pengawal Syarikat (company controller) Wany Venture didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM57,000 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik syarikatnya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di antara 24 November dan 4 Disember 2024 di CIMB cawangan Damansara Heights, Wisma UOA II di sini.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, di antara 25 Januari dan 25 November 2025, di lokasi sama, Salwani didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM20,000.
Pasangan itu didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Subsekyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda daripada jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan yang digunakan ketika kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Wan Shaharuddin mencadangkan jaminan RM300,000 dikenakan terhadap Muhammad Hafizuddeain kerana tuduhan dikenakan adalah serius dan turut memohon syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah kerada ada kebarangkalian bekas pegawai tentera itu melarikan diri, serta melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan.
Bagi Salwani, pendakwa mencadangkan ikat jamin antara RM30,000 hingga RM50,000 beserta syarat tambahan serupa dengan suaminya.
Aizul Rohan memohon ikat jamin terhadap Muhammad Hafizuddeain dikurang ke RM100,000 berikutan anak guamnya kini seorang pesara dengan pencen RM15,000 sebulan.
Fahmi memohon agar anak guamnya (Salwani) dikenakan jaminan RM20,000 atas alasan wanita itu hanya menjalankan perniagaan dalam talian dan tidak memiliki pendapatan bulanan.
Muhammad Hafizuddeain dibenarkan dijamin RM250,000 manakala Salwani diikat jamin RM30,000, masing-masing dengan dua penjamin. Kes ditetapkan sebutan semula pada 30 Mac ini.
Menurut kenyataan SPRM, Muhammad Hafizuddeain akan didakwa dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, manakala Salwani menghadapi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan.
Pada 7 Januari lalu, bekas PTD bersama dua isterinya ditahan SPRM berkait projek perolehan tender tentera darat dan esok harinya, pegawai itu direman tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.
SPRM menyita RM11.4 juta nilai barangan dari dua kediaman bekas PTD itu termasuk satu di rumah rahsia terletak di Kuala Lumpur.
Rampasan turut dilakukan di sebuah rumah di Besut dan sebanyak 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta turut dibekukan oleh SPRM. – UTUSAN





