PETALING JAYA: Seramai sembilan individu diambil keterangan berkaitan siasatan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan Harimau Malaya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan berkaitan dakwaan terbabit.
Katanya, antara yang diambil keterangan adalah pengadu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini menerima sebanyak 45 laporan polis berkaitan dakwaan itu.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan seramai sembilan individu dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, polis bekerjasama dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya terdapat keperluan bagi mendapatkan maklumat berkaitan kes itu.
24 Disember lalu, media melaporkan FAM membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi memaklumkan tindakan itu diambil selaras dengan saranan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan laporan siasatan mereka baru-baru ini.
Sebelum ini, IIC dalam laporan penuh siasatan, mengemukakan tiga cadangan kepada FAM susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya antaranya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan untuk mengesahkan asal usul dokumen yang disyaki palsu, serta mengenal pasti pihak bertanggungjawab.
Pada 26 September lalu, FIFA dalam kenyataan rasmi, mengesahkan badan induk negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
FIFA mendapati FAM menyerahkan dokumen yang dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan kesemua pemain itu.
FAM didenda kira-kira CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda kira-kira RM11,000 dan tujuh pemain itu digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
Pada 3 November, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan FAM dan kesemua pemain terlibat, sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib terdahulu. – UTUSAN





