KUBANG PASU: Kecenderungan rakyat Malaysia khususnya anak muda untuk berhibur di Thailand khususnya di selatan negara itu menyebabkan mereka terdedah dengan pengambilan dadah yang mudah didapati termasuk dijual di kaki lima.
Ada antara mereka pertama kali mengambil bahan larangan itu namun kesannya berpanjangan.
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah mendedahkan kebanyakan yang ‘kantoi’ dalam operasi jalan raya di sempadan selepas pulang bercuti dari negara itu ketika musim cuti atau perayaan merupakan golongan yang sekadar ingin mencuba bahan itu
Pengarahnya, Khairul Anwar Ahmad berkata, belia berusia 18 hingga 40 tahun usia tertinggi terjerat perangkap dadah sempadan termasuk ganja.
Katanya, selain akses mudah, ganja yang dijual dalam bentuk rokok di kaki lima atau jalanan dilihat menjadi faktor kenapa rakyat negara ini mudah terpengaruh untuk mencuba.
“Daripada kes yang kita temui sebelum ini, ganja dijual di kaki lima dengan harga sekitar RM7 dalam bentuk rokok iaitu daun ganja dibalut seperti rokok.
“Ketika melalui kawasan tersebut, ramai pengunjung terpengaruh dan terus membeli rokok berisi ganja ini untuk sekadar mencuba kerana di sana ia bukan satu kesalahan.
“Seperti kes baru-baru ini ketika operasi tahun baharu, tiga pemuda ‘kantoi’ ganja kerana terjerat dengan pelawaan. Ketika pulang bercuti mereka ditahan kerana positif bahan terlarang itu,” katanya kepada Nexbyte.
Katanya, apa yang membimbangkan ketagihan boleh dibentuk daripada perbuatan itu walaupun bermula dengan hanya sekali cuba bahan terlarang itu, berikutan ia akan memberi kesan terus kepada otak khusus pada sistem ganjaran atau reward system. Apabila bahan itu masuk ke dalam tubuh, ia merangsang pengeluaran bahan kimia yang menimbulkan rasa keseronokan dan euphoria.
“Walaupun hanya sekali pengalaman nikmat ini boleh melekat dalam memori otak dan mencetuskan keinginan untuk mengulanginya.
“Lama kelamaan otak belajar untuk mengaitkan bahan itu dengan keseronokan lalu membentuk tingkah laku yang berulang. Jadi walaupun bermula dengan sekali mencuba risiko berkembang menjadi penagihan itu ada,” katanya.
Faktor lain mendorong golongan tersebut bertindak sedemikian adalah pengaruh rakan yang arif dengan selok belok kawasan berkenaan dan sifat ingin mencuba yang tinggi.
“Dalam operasi terbaharu awal tahun minggu lepas, sebanyak 13 lelaki yang berusia 18 hingga 39 tahun ditahankan kerana dikesan mengambil pelbagai jenis dadah termasuk ganja dan kebanyakan mereka adalah pertama kali mencuba.
“Sepanjang tahun ini AADK Kedah akan lebih agresif meneruskan operasi seperti ini kerana kita memandang bertapa serius isu penyalahgunaan dadah di sempadan negara di mana bermula dengan mencuba secara suka-suka yang bakal membawa penagihan,” ujarnya.
Menurut beliau, mana-mana individu yang dikesan mengambil bahan itu akan ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan Terlarang (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu menurut pengakuan seorang pemuda yang ditahan mengambil ganja ketika berada di Hat Yai untuk menyambut Tahun Baharu, baru-baru ini, dia dan dua rakannya membeli ganja yang berbentuk rokok itu setelah dipujuk oleh penjual yang merupakan rakyat tempatan.
“Ketika berjalan-jalan kami terserempak dengan lelaki ini dan merayu supaya kami membeli bahan ini harga cuma 60 Baht sahaja. Katanya, cubalah kerana di sini ‘halal’. Kami beli dan kongsi bertiga.
“Dalam perjalanan pulang kena tahan kerana ‘kantoi’ ujian saringan. Menyesalnya Tuhan sahaja yang tahu. Saya pun baru pertama kali jejak Thailand dan jauh sekali nak mencuba benda macam ini kerana tahu kesannya.
“Oleh sebab itu saya nasihatkan supaya rakyat Malaysia yang berkunjung ke Hat Yai itu berhati-hatilah. Kalau ada yang menawarkan rokok seperti itu, jangan sekali dekati kerana mereka memang pandai memujuk,” dakwanya. – UTUSAN






