JOHOR BAHRU: Tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia dan seorang pemilik restoran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan berkaitan rasuah membabitkan counter setting sejak tiga tahun lalu.
Tertuduh, Md. Azhar Jamal, 40; Hairizam Mohamed, 58, dan Ridzal Mohd. Yasin, 43, serta Haslan Hazilah, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Md. Azhar berdepan 14 tuduhan bersetuju menerima rasuah sebanyak RM28,600 daripada seorang wanita yang mana mengetahui ada hubungan dengan tugas rasminya di Pejabat Imigresen Pasir Gudang iaitu bertanggungjawab menyemak dan memastikan dokumen perjalanan warga asing untuk tujuan keluar masuk ke negara Malaysia adalah sah.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin dan menetapkan 25 Februari depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sementara itu, Ridzal berdepan dua tuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM1,700 daripada seorang ejen tiket lelaki sebagai dorongan untuk memudah cara urusan kemasukan pengembara warganegara Indonesia ke Malaysia di Pusat Pemeriksaan Imigresen Pintu Keluar Masuk Laut (Jeti) Terminal Feri Pasir Gudang pada April dan Ogos 2023.
Hairizam pula didakwa menerima suapan wang tunai sebanyak RM100 sebagai dorongan untuk memudah cara urusan kemasukkan pengembara warganegara Indonesia ke Malaysia di Pejabat Imigresen Pasir Gudang di Terminal Feri Pasir Gudang pada Ogos 2024.
Sementara itu, Haslan sebagai ejen tiket telah menerima suapan wang tunai RM1,200 daripada seorang lelaki bagi membantu memudah cara urusan keluar masuk pengembara warganegara Indonesia ke Malaysia melalui Terminal Feri Muar dan gagal melaporkan kesalahan pemberian pada November 2024 itu kepada Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 Februari depan terhadap Ridzal manakala 25 Februari kepada Md Azhar, Haslan dan Harizam. – UTUSAN






