LAWAS: Seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup selepas ‘safe house’ mereka yang terletak di kawasan hutan sebagai tempat persembunyian bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak.
JIM Sarawak menerusi satu kenyataan, berkata kesemua mereka yang terdiri daripada 13 warganegara Filipina dan 4 warganegara Indonesia itu ditangkap dalam Op Sapu yang dijalankan di empat lokasi di sini, pada 11 Ogos lepas.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen perjalanan yang sah dan tinggal melebihi tempoh pas,” katanya.
Kenyataan itu menambah, kesemua PATI terbabit telah dibawa ke Lokap Tahanan Sementara ICQS Mengkalap untuk siasatan dan tindakan lanjut di bawah peruntukan Akta Imigresen 1959/63.
Selain itu, JIM Sarawak berkata pihaknya turut menahan 13 orang warganegara Filipina dan empat orang warganegara Indonesia dalam Op Sapu yang dilaksanakan di Bintulu pada 12 Ogos lepas.
Katanya mereka terdiri daripada empat wanita dewasa, dua lelaki dewasa dan 11 orang kanak-kanak berusia antara satu hingga 12 tahun.
“Siasatan awal juga mendapati mereka masuk ke Sarawak melalui pintu masuk yang tidak diwartakan dan dipercayai diuruskan oleh ejen tempatan dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 seorang,” katanya.
Menjelas lanjut, JIM Sarawak berkata antara kesalahan yang dikenal pasti ialah di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.
Katanya kesemua PATI dewasa telah dihantar ke Depot Imigresen Bekenu manakala kanak-kanak bersama penjaga ditempatkan di Baitul Mahabbah Bekenu, yang mempunyai persekitaran lebih kondusif kepada tahanan kanak-kanak. – UTUSAN






