KUALA LUMPUR: India menawarkan kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) enjin pesawat Sukhoi selepas Malaysia berdepan kesukaran mendapatkan perkhidmatan itu dari Russia.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia antara perkara dibincangkan dan diputuskan ketika lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi hujung minggu lalu.
“Kedua-dua negara turut membincangkan kerjasama dalam keselamatan termasuk MRO enjin pesawat Sukhoi kerana India memiliki banyak aset pesawat itu serta mampu mengeluarkan peralatan gantian.
“Malaysia sebelum ini berdepan kesukaran menghantar peralatan gantian atau melakukan servis enjin Sukhoi ke Russia berikutan sekatan Amerika Syarikat (AS) yang menghalang pembayaran melalui sistem Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication (SWIFT) atau kaedah biasa.
“Kini India memberi peluang kepada Malaysia untuk melaksanakan servis MRO enjin pesawat Sukhoi di India,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai hasil perdagangan dan keselamatan serantau susulan lawatan Perdana Menteri India baru-baru ini serta langkah bersama yang boleh diambil terhadap pelaksanaan tarif AS dan usaha memulihkan demokrasi serta keamanan di Myanmar.
Mohamad berkata, Malaysia dan India juga bekerjasama memastikan keamanan di Indo-Pasifik dan Lautan Hindi, selain mengekalkan keseimbangan Laut China Selatan melalui Kod Tatalaku (COC) yang kini berada di peringkat akhir.
“Malaysia mahu rantau ASEAN kekal sebagai kawasan aman, bebas dan berkecuali selain memastikan kawasan jiran termasuk India berada dalam keadaan aman dan selesa,” katanya. – UTUSAN






