SEREMBAN: Malaysia mengecam tindakan Zionis Israel yang bertindak menutup akses ke kompleks Masjid Al-Aqsa hingga umat Islam Palestin tidak dapat menunaikan ibadah sempena bulan Ramadan ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia adalah satu lagi perbuatan tidak bermoral oleh rejim itu yang telah melakukan kekejaman terhadap wanita, kanak-kanak dan rakyat Palestin.
“Masjid itu adalah tempat suci umat Islam yang telah digunakan ribuan tahun lalu.
“Tindakan menutup Al-Aqsa daripada digunakan oleh rakyat Palestin dan umat Islam lain merupakan satu tindakan yang sangat dikecam,” katanya kepada para pemberita selepas majlis berbuka puasa UMNO Bahagian Rembau di sini malam tadi.
Beliau mengulas gesaan dari lapan negara yang majoriti penduduk beragama Islam supaya regim Israel menghentikan penutupan pintu masuk kompleks Masjid Al-Aqsa pada bulan Ramadan ini.
Dalam satu kenyataan bersama, menteri luar Indonesia, Mesir, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu turut menggesa Israel menarik balik sekatan ke Kota Lama Baitulmuqaddis serta tidak menghalang umat Islam daripada memasuki masjid itu.
Mohamad memberitahu, Malaysia percaya banyak negara lain akan turut mengecam tindakan keji itu yang bertujuan menyekat umat Islam daripada menunaikan ibadah di bulan puasa ini.
Jelasnya, tindakan tidak bermoral itu perlu dihentikan serta-merta terutamanya bulan Ramadan sedang menuju penghujungnya.
“Akses ke masjid ini perlu dibuka segera supaya umat Islam Palestin dapat menunaikan ibadah di bulan puasa sama seperti komuniti Muslim di seluruh dunia.
“Tidak lama lagi umat Islam akan menyambut hari raya Aidilfitri dan menunaikan solat sunat di masjid pada pagi hari tersebut,” katanya. – UTUSAN






