PETALING JAYA: Kerajaan memberi penekanan terhadap usaha reformasi perkhidmatan awam termasuk memperluas penggunaan teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan bersama warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai langkah-langkah reformasi perkhidmatan awam bagi memperkukuh kecekapan tadbir urus serta mutu penyampaian kepada rakyat.
Katanya, usaha itu melibatkan penerapan teknologi baharu termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi meningkatkan produktiviti, mempercepat proses kerja serta memantapkan keupayaan perkhidmatan awam.
“Ia bagi memastikan perkhidmatan awam lebih responsif, cekap dan berkesan dalam memenuhi keperluan rakyat.
“Usaha membawa negara ke tahap lebih maju dan berdaya saing menuntut komitmen berterusan seluruh penjawat awam untuk menjayakan aspirasi Malaysia Madani.
“Ini dengan menitikberatkan amanah, integriti serta profesionalisme tinggi, apatah lagi dalam menghadapi suasana dunia yang semakin tidak menentu dan mencabar,” katanya di Facebook. – UTUSAN






