PETALING JAYA: OCBC Malaysia menjemput perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini untuk menyertai Anugerah Perusahaan Sedang Berkembang 2026 (Emerging Enterprise 2026 Awards) dengan penyertaan dibuka dari sekarang hingga 30 Jun ini.
Anugerah itu mengiktiraf syarikat perniagaan berpotensi tinggi di peringkat serantau menerusi pengiktirafan terhadap keusahawanan, inovasi dan pertumbuhan rentas sempadan.
Program yang diperkenalkan di Singapura pada 2008 sebelum diperluaskan ke Malaysia itu terbuka kepada syarikat berusia bawah 10 tahun dengan hasil tahunan sehingga RM62 juta.
Ketua Perniagaan Sedang Berkembang OCBC Malaysia, Chan Kok Leong berkata, persekitaran PKS Malaysia berkembang pesat dan semakin pelbagai dengan banyak perusahaan berjaya muncul sebagai peneraju dalam industri masing-masing.
“Justeru, adalah amat penting untuk kita mengiktiraf potensi mereka di peringkat awal dan memberikan sokongan yang diperlukan untuk mereka mencapai mercu jaya lebih tinggi.
“Pada Anugerah Perusahaan Sedang Berkembang tahun lalu, dua syarikat Malaysia telah dipilih sebagai pemenang selepas menunjukkan kecemerlangan dalam kalangan pesaing dari Singapura, Hong Kong dan Indonesia.
“Pencapaian ini memaparkan kekuatan, wawasan dan daya saing usahawan Malaysia. Menerusi anugerah ini, kami ingin terus memberi tumpuan kepada perusahaan Malaysia, mendorong kejayaan dan menyokong pertumbuhan dalam usaha mereka meluaskan operasi, mencapai cita-cita masing-masing serta mengukuhkan sektor PKS negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tahun lalu, anugerah berkenaan menerima hampir 100 penyertaan daripada syarikat Malaysia merangkumi pelbagai industri.
Dua syarikat tempatan iaitu Dodo Ventures Sdn. Bhd. dan Green Environmental Engineering Sdn. Bhd. muncul sebagai pemenang pada pusingan akhir serantau di Singapura, sekali gus memperlihatkan kedudukan dan daya saing PKS Malaysia yang semakin kukuh.
Anugerah Perusahaan Sedang Berkembang 2026 meliputi empat kategori iaitu Anugerah Perusahaan Sedang Berkembang, Anugerah Syarikat Pemula Paling Berpotensi, Anugerah Kelestarian Perusahaan Sedang Berkembang dan Anugerah Syarikat Pemula Kelestarian Paling Berpotensi.
Mulai tahun ini, sehingga enam syarikat akan diiktiraf dalam kategori Anugerah Perusahaan Sedang Berkembang dan Anugerah Kelestarian Perusahaan Sedang Berkembang.
Pemenang bakal menerima hadiah termasuk pinjaman bertempoh tanpa faedah selama dua tahun sehingga RM600,000 serta pakej rundingan oleh RSM Singapore bernilai sehingga RM45,000 bagi membantu pertumbuhan dan pengembangan serantau.
Bagi kategori Syarikat Pemula Paling Berpotensi pula, sehingga tiga pemenang akan menerima pengiktirafan industri dan pendedahan media.
Sebanyak 30 syarikat akan dipilih dengan senarai pemenang diumumkan pada Oktober 2026.
Permohonan boleh dibuat sehingga 30 Jun 2026 menerusi laman sesawang rasmi anugerah tersebut.
Anugerah Perusahaan Sedang Berkembang 2026 disokong oleh Mastercard, RSM Singapore, A*STAR – Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan, CBRE Pte Ltd dan Enterprise Singapore. – UTUSAN




