PUTRAJAYA: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah sesebuah negara boleh menerima kesan buruk apabila pemimpin bertindak secara impulsif, melatah dan melulu mengikut dorongan emosi tanpa pertimbangan yang matang.
Baginda bertitah, keputusan terburu-buru demi kepentingan jangka pendek, menyebabkan rakyat yang tidak berdosa terpaksa menanggung akibat serta kos yang tinggi.
“Malang bagi sesebuah negara dan bangsa apabila berlakunya suasana pemimpin memilih bertindak secara impulsif, melatah dan melulu mengikut dorongan hati dan pengaruh emosi, lalu bertindak secara terburu-buru tanpa berfikir panjang,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, semalam.
Baginda berkenan menyampaikan anugerah kepada Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dan Pengasas Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang juga pakar fiqah Islam dari Maghribi Prof Sheikh Dr Ahmad al-Raysuni sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1448H/2026M, masing-masing bagi kategori kebangsaan dan antarabangsa. Turut mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Agama, Dr. Zulkifli Hasan.
DI LIPIS: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan kedaulatan negara mesti dipelihara tanpa kompromi, manakala hak rakyat dan keamanan negara perlu terus dipertahankan dalam menangani isu melibatkan golongan bukan warganegara.
Baginda bertitah, pihak berkuasa perlu bertindak tegas, bijaksana dan berhemah berlandaskan undang-undang terhadap sebarang tuntutan yang tidak selari dengan kedudukan golongan tersebut di negara ini.
“Jangan sampai biduk yang ditumpangkan akhirnya mahu menentukan haluan nakhoda. Jangan sampai kerana terlalu murah hati, tuan rumah pula dipersoalkan haknya di rumah sendiri,” titah baginda menyempurnakan
Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan, semalam.
DI ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah negeri Kedah perlu memanfaatkan kekayaan hasil bumi dan warisan gemilang dimiliki bagi memastikan negeri maju dan berdaya saing.
Baginda bertitah, usaha tersebut perlu digerakkan menerusi semangat hijrah yang diterjemahkan dalam aspek pemikiran, pentadbiran, ekonomi dan pendidikan, di samping memperkukuh pembinaan akhlak serta integriti dalam kalangan rakyat.
Titah baginda dibacakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, semalam.
DI JEMPOL: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengingatkan semua pihak agar tidak membiarkan perebutan kuasa dan ketamakan menjejaskan keamanan serta kestabilan yang dinikmati rakyat negeri ini.
Baginda bertitah, keharmonian dikecapi selama ini perlu terus dipelihara bagi memastikan kesejahteraan negeri dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
“Jangan biar perebutan kuasa dan ketamakan mengganggu kedamaian dan ketenteraman dinikmati bersama. Dalam masa sama, kita diamanahkan untuk terus menghayati dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 1448 Hijrah di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol, semalam. – UTUSAN






