KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum kini bergelar peguam selepas diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya hari ini.
Malanjum,73, yang merupakan Ketua Hakim Negara pertama berasal dari Borneo Sabah merupakan Ketua Hakim Negara yang ketiga menjadi peguam selepas bersara.
Beliau juga merupakan anak negeri Sabah yang pertama menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan.
Dua lagi ialah Allahyarham Tun Salleh Abas dan Tun Dr. Md. Raus Sharif.
Malanjum diterima masuk dalam majlis di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin.
Usul penerimaan masuk Malanjum dikemukakan oleh peguam Nicholas Kow yang kemudian menyarungkan jubah terhadap beliau.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Bahagian Guaman I, Jabatan Peguam Negara, Mohammad Al-Saifi Hashim; Bendahari Majlis Peguam, Peter-Douglas Ling dan Badan Peguam Kuala Lumpur diwakili, D. Nimalan.
Bekas Ketua Hakim itu merupakan individu yang mempelopori program mahkamah bergerak, membawa pentadbiran keadilan kepada masyarakat di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak yang sebelum ini terpaksa mengambil masa berjam-jam dan melalui jalan yang sukar untuk sampai ke mahkamah.
Beliau juga memperkenalkan sistem e-review yang membolehkan peguam mengendalikan pengurusan kes ketika berada di mana-mana, sama ada dari pejabat atau ketika bercuti.
Malanjum turut mewujudkan e-judgement; sebuah portal penghakiman yang membolehkan peguam mengakses, membaca dan mempelajari penghakiman terbaharu secara percuma, malah sebelum ia dilaporkan oleh penerbit undang-undang.
Malanjum dilahirkan pada Oktober 1952 di Tuaran, Sabah yang mana beliau memulakan persekolahannya di peringkat rendah dan menengah di Kota Kinabalu, Sabah.
Pada 1972, beliau melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti Teknologi Mara) di Shah Alam, Selangor, sebagai pelajar luar kampus University of London dalam bidang Undang-Undang dan telah dianugerahkan Bachelor of Laws (LL.B)(Hons)(London) pada 1975.
Setelah memperoleh ijazah undang-undang, Malanjum berkhidmat di Jabatan Ketua Menteri Sabah dan ditugaskan sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah.
Malanjum kemudian melanjutkan pelajaran di London dan berjaya menghabiskan pengajian “Bar-at-Law” pada tahun yang sama. Beliau telah dipanggil ke “The English Bar of the Honourable Society of Gray’s Inn” di London.
Sekembalinya dari London, beliau berkhidmat semula di Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah sebagai Pegawai Undang-Undang/Timbalan Pendakwa Raya.
Pada tahun 1977, beliau diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara di Sabah dan juga diterima masuk ke “The Australian Capitol Territory” (ACT) Bar pada 1991.
Pada 1981, Malanjum meletak jawatan dan seterusnya menyertai kerjaya guaman persendirian di Kota Kinabalu hingga 1992, apabila beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada Mac tahun yang sama.
Kemudian pada 1993, beliau diangkat menjadi Hakim Mahkamah Tinggi di Kuching, Sarawak. Beliau juga ditugaskan di Mahkamah Tinggi Miri dan Sandakan pada 1994 dan 1996 dan ditukar semula ke Mahkamah Tinggi Kuching pada Mei 2002.
Pada Ogos 2002, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan kemudian pada Jun 2005, dilantik Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Pada 26 Julai 2006 beliau secara rasmi dilantik Hakim Besar Sabah dan Sarawak sebelum mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 Julai 2018. – UTUSAN






