LIPIS: Seorang bekas tentera dari Kampung Tanjung Gahai, Jelai, di sini, berdepan kesengsaraan hidup selepas menamatkan perkhidmatan sembilan tahun lalu apabila menghidap penyakit buah pinggang, komplikasi hati dan paru-paru.
Mohd. Ezral Abd. Razak, 37, berkata, penyakit buah pinggang yang dihadapinya memaksanya berulang-alik ke Hospital Lipis tiga kali seminggu bagi menjalani rawatan dialisis sehingga menyebabkannya tidak mampu bekerja.
“Ada ketika saya terpaksa meminjam wang daripada saudara terdekat untuk menampung kos dialisis di hospital termasuk perjalanan yang agak jauh kerana rawatan mengikut jadual dan tidak boleh ditangguh.
“Saya juga diuji dengan penyakit hati dan paru-paru sehingga mengehadkan pergerakan serta tidak mampu melakukan kerja berat,” katanya kepada Nexbyte di sini.
Mohd. Ezral berkata, dia kini bergantung kepada pencen ilat RM800 sebulan yang hanya cukup untuk menampung keperluan dapur, bil dan persekolahan dua anak, manakala sebahagian lagi digunakan bagi kos rawatan dialisis.
“Pencen ilat memang tidak cukup untuk menampung semua keperluan sehingga kadangkala kami terpaksa meminjam wang daripada saudara terdekat untuk menjalani dialisis dan keperluan lain,” katanya.
Mohd. Ezral yang pernah berkhidmat di Batalion Ke-8, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Lipis, berkata, selepas bersara, dia pulang ke kampung dan menumpang di rumah mentuanya kerana tidak mampu bekerja akibat penyakit yang ditanggung.
Kesengsaraan keluarga itu turut bertambah apabila anak bongsunya, Nurul Darina Aysha, 6, menghidap penyakit sawan dan memerlukan rawatan berkala di Hospital Lipis.
Sementara itu, isterinya, Nurul Bazilah Abdul Wahab, 38, berkata, dia cuba membantu menambah pendapatan keluarga dengan bekerja di sebuah kantin dengan upah RM25 sehari selain menjual burger pada sebelah petang.
“Belanja persekolahan anak, Nurul Aulia Ramadhani, 10, dan Nurul Aaira Afeeya, 8, juga sering menjadi cabaran termasuk menyediakan pakaian, kasut dan alat tulis, selain kos rawatan anak bongsu,” katanya.
Bagi yang ingin membantu, boleh menghubungi Mohd. Ezral di talian 013-500 7380 atau menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7036864354 (Mohd. Ezral Abd. Razak). – UTUSAN






