YAN: Lima tahun selepas tragedi kepala air yang melanda kaki Gunung Jerai pada 18 Ogos 2021, trauma kejadian yang mengorbankan enam nyawa itu semakin beransur hilang, namun detik getir berkenaan masih jelas dalam ingatan mangsa yang mengalaminya.
Kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu menyebabkan lebih 2,000 penduduk beberapa kampung di kaki gunung itu terjejas selepas rumah dan harta benda mereka rosak akibat dihanyutkan arus deras membawa lumpur, batu besar serta kayu balak.
Tragedi berkenaan turut memusnahkan tiga lokasi rekreasi popular di daerah Yan iaitu Titi Hayun, Batu Hampar dan Seri Perigi, selain mengubah struktur muka bumi kawasan terbabit.
Bagi Syazwan Anas Abdul Mutalib, 44, yang kehilangan datuknya dalam tragedi itu, pengalaman berdepan kepala air tidak mudah dilupakan walaupun kehidupannya kini kembali seperti biasa.
Menurutnya, pada hari kejadian, dia membantu datuknya, Allahyarham Ku Shuib Ku Abdullah, 91, bekas imam sebuah masjid di Yan, menguruskan Salak Denai Chalet yang terletak berhampiran kawasan rekreasi Batu Hampar.
“Sekitar pukul 2 petang, hujan amat lebat dan paras air sungai bersebelahan tapak chalet mula meningkat serta membawa air berlumpur. Saya ketika itu memindahkan beberapa barangan ke dalam stor bagi mengelak ia rosak,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Syazwan Anas berkata, datuknya ketika itu berada di bahagian hadapan rumah dalam keadaan berbaring di atas katil bersama neneknya, Kalsom Abdullah, 83, dan anak sulung beliau, Muhammad Hadif, 11.
“Air sungai mula melimpah dan memasuki beberapa chalet serta asrama penginapan sehingga menyebabkan sebahagian dinding bangunan runtuh dihanyutkan arus. Saya cuba harungi air yang sudah paras lutut untuk mendapatkan datuk tetapi tak sempat apabila satu gelombang besar membawa kayu balak dan batu menghempas rumah,” katanya.
Menurutnya, dia melihat sendiri datuknya dihanyutkan, manakala nenek dan anaknya turut dihanyutkan arus deras sebelum tersangkut pada sebatang pokok mangga di belakang rumah.
“Tidak lama kemudian datang gelombang kedua yang menghanyutkan dua kereta saya dan tiga motosikal. Arus berlumpur turut membadai tiga chalet sehingga semuanya runtuh,” katanya.
Katanya, selepas keadaan reda, dia segera mendapatkan nenek dan anaknya sebelum membawa mereka ke kawasan lebih tinggi sebelum meneruskan usaha mencari datuknya di sekitar kawasan berkenaan.
“Mayat datuk hanya ditemui empat hari kemudian dan saya bersyukur kerana akhirnya datuk ditemui. Dia hanya mengalami beberapa luka kecil sebelum dikebumikan selepas proses bedah siasat selesai,” katanya. – UTUSAN






