PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bercadang mengemukakan laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung dakwaan keanggotaannya dalam Perikatan Nasional (PN) gugur secara automatik susulan hasrat parti itu membentuk gabungan politik baharu.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, PN yang kini didakwa dikuasai Pas tidak seharusnya ditadbir berdasarkan kepentingan mana-mana parti, sebaliknya perlu berpegang kepada perlembagaan serta prinsip tadbir urus yang baik.
“Tindakan Pas melanggar Perlembagaan PN dan keputusan-keputusan MT PN berulang kali, termasuk menafikan hak parti anggota perlu dilaporkan kepada ROS agar perbuatan ini dapat dihentikan segera.
“Pengerusi PN sekarang seolah-olah boneka. Pusat kuasa adalah Rusila dan Presiden Pas boleh sewenang-wenangnya mempertikai serta melanggar keputusan MT PN dan berbuat sesuka hati.
“PN bukan seperti Pas. PN perlu diurus berpandukan Perlembagaan PN, adil dan tidak menafikan hak anggota, telus dan secara berintegriti. PN perlu dikembalikan menjadi PN yang asal, bukan ditadbir seperti sekarang,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kelmarin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa keanggotaan Bersatu dalam PN gugur secara automatik susulan pengumuman Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hasrat membentuk gabungan politik baharu.
Katanya, keadaan itu berdasarkan Perlembagaan PN yang menetapkan bahawa ahlinya terkeluar daripada parti apabila menyertai gabungan lain.
Bagaimanapun, Bersatu menegaskan kedudukannya dalam PN masih kekal dan tidak berubah kerana parti itu belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan politik termasuk Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).






