PETALING JAYA: Pelakon, Ika Nabella, mendedahkan dirinya kini semakin sukar untuk menyembunyikan perasaan tidak selesa atau berpura-pura mesra terhadap sesuatu perkara yang tidak disenanginya.
Ika atau Ika Nabila Abdul Rahim, 37, berkata, dia mengakui terdapat perbezaan ketara pada tindak-balas dirinya berbanding sebelum ini.
Menurutnya, dia sukar mengawal ekspresi mukanya sekiranya emosinya tidak serasi dengan situasi berkenaan.
“Saya mahu bercakap mengenai diri saya buat sekarang ini sebab saya rasa secara perlahan-lahan mula ada sikap yang kurang menyenangkan. Bila saya tidak selesa dengan sesuatu perkara, saya memang tidak boleh sembunyikan.
“Dulu, mungkin saya boleh berpura-pura, tersenyum dan berlakon seolah-olah semuanya berada dalam keadaan baik. Tapi sekarang, jika perasaan itu tidak serasi, memang susah untuk saya paksa muka saya bagi kerjasama,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Tambah Ika lagi, cubaan berpura-pura mesra hanya membuatkan dirinya berasa kekok.
“Saya jujur tidak boleh berpura-pura lagi
sebab bila saya cuba buat sebegitu macam gelak atau senyum, saya rasa sangat janggal dan bibir terketar-ketar,” katanya.
Untuk rekod, Ika Nabella mula aktif dalam dunia lakonan sejak 2009 lagi dengan drama sulungnya Zati dan Si Mawas.- UTUSAN






