KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah Kelantan (2026) yang mengandungi sembilan bahagian, 62 fasal dan satu jadual berkaitan kesalahan takzir serta hukuman di bawah Hukum Syarak.
RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga bagi menggantikan 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) (1) 2019 yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Mac 2024.
RUU berkenaan digubal berdasarkan prinsip Pith and Substance dengan memberi penekanan kepada kewajipan agama selain memasukkan beberapa peruntukan baharu dan ciri pembaharuan.
Ia dibentangkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan dibahaskan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada hari pertama persidangan DUN Kelantan, semalam.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, RUU berkenaan adalah naskhah perundangan yang diberikan nilai tambah dengan penuh ketelitian selepas melalui pelbagai peringkat sebelum dibawa ke DUN Kelantan.
Katanya, keistimewaan RUU itu terletak pada pembugarannya yang berpaksikan maqasid syariah dengan setiap peruntukan kesalahan disusun rapi bagi memastikan setiap denyut perundangan selari dengan objektif pensyariatan Islam.
“Pendekatan ini bukan asing kerana telah wujud dalam EKJS (1) 2019. Namun, pada hari ini kita melangkah setapak lagi dengan memperkemas dan memperkukuh susunannya agar tampil lebih sistematik, jelas serta berwibawa,” katanya ketika berucap semasa penggulungan sebelum bacaan kedua dan ketiga RUU Kesalahan Syariah Kelantan (2026) pada persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohd. Nassuruddin berkata, perkara yang dibahaskan dalam penggulungan turut menyentuh aspek sumber manusia serta penambahbaikan kemudahan dan keselesaan prasarana.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited terhadap kedua-dua aspek berkenaan yang akan diperhalusi dan dilaksanakan berdasarkan kemampuan semasa.
“Perkara yang dibahaskan dalam penggulungan adalah berkaitan sumber manusia dan menambah baik kemudahan serta keselesaan prasarana dan kerajaan negeri sentiasa komited terhadap kedua-duanya. Ia akan diperhalusi dan dilaksanakan berdasarkan kemampuan semasa,” katanya. – UTUSAN






