MELAKA: Prestasi ekonomi negara yang semakin baik perlu diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dapat dirasai rakyat.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, perkara itu antara yang perlu diberikan perhatian susulan amanat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan dasarnya hari ini.
Beliau berkata, meskipun petunjuk ekonomi termasuk pertumbuhan, inflasi, kadar pengangguran dan kekukuhan ringgit menunjukkan prestasi positif, masih terdapat rakyat yang merasakan limpahan daripada pencapaian tersebut belum sampai kepada mereka.
“Dari segi pertumbuhan ekonomi, inflasi, kadar pengangguran dan kekukuhan ringgit, semuanya menunjukkan Malaysia berada pada tahap yang baik berbanding negara-negara lain.
“Pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus, sebagai contoh, mengatasi jangkaan konsensus.
“Namun pada masa sama, rakyat turut menyuarakan kebimbangan bahawa angka-angka besar atau angka makro tersebut masih belum dapat dirasai oleh semua,” katanya kepada pemberita selepas Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata, keadaan pertumbuhan ekonomi yang tidak dinikmati secara sama rata bukan hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya merupakan fenomena yang turut berlaku di peringkat global.
Oleh itu, beliau berkata, beberapa dasar perlu dinilai semula bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, bekas Menteri Kewangan itu berkata, aspek komunikasi kerajaan juga masih mempunyai ruang untuk diperbaiki khususnya bagi memastikan maklumat mengenai bantuan dan inisiatif kerajaan sampai kepada rakyat.
“Kita perlu lebih banyak mendengar dan pada masa sama memberikan maklumat yang tepat kepada rakyat.
“Kita dapat melihat dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini, termasuk di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, ramai yang menyuarakan bahawa mereka tidak menerima atau tidak mengetahui mengenai sebahagian bantuan yang telah diumumkan.
“Jadi, dari segi komunikasi, saya rasa masih ada ruang untuk diperbaiki,” katanya.
Mengenai kekuatan parti, Tengku Zafrul berkata, PKR perlu melihat kelemahan sendiri dan tidak hanya menyalahkan pihak lain apabila berdepan masalah atau kemerosotan sokongan rakyat.
Katanya, kekuatan jentera parti juga penting kerana ahli PKR memainkan peranan dalam memastikan maklumat mengenai dasar serta bantuan kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat.
“Kita mesti memastikan parti ini kukuh dan jentera kita kuat. Dalam soal penyampaian maklumat dan bantuan kepada rakyat, ahli-ahli parti juga memainkan peranan penting.
“Kita tidak boleh hanya menyalahkan parti lain atau parti komponen apabila berdepan sesuatu masalah. Sebaliknya, kita juga perlu melihat kelemahan dan peranan kita sendiri,” katanya. –UTUSAN






