SHAH ALAM: Juara Big Stage Rocketfuel, Hussain berkata, hantaran ‘saya minta maaf’ yang tular di Threads semalam merupakan caranya untuk menjaga ketenangan hati dan mengelakkan konflik berpanjangan.
Hussain atau Jamak Hussain Jamilul Hayat, 23, berkata, dia lebih selesa mengambil pendekatan untuk tidak membalas sebarang provokasi dengan kemarahan, sebaliknya memilih untuk memohon maaf sebagai ‘senjata’ utamanya.
“Kalau ada orang yang tidak suka, saya minta maaf sahaja. Saya tidak ambil hati pun. Cakaplah apa yang hendak dicakap kerana bagi saya, perkara negatif ini tidak akan kekal lama.
“Apabila kita memaafkan, lama-kelamaan mereka sendiri akan berasa simpati dan mula mempersoalkan tindakan mereka terhadap saya dan fikir, ‘Betulkah apa yang aku buat ini?
“Kenapa dia diam sahaja,’” katanya ketika ditemui Nexbyte sejurus persembahan konsert akhir di Auditorium MBSA, semalam.
Tambah Hussain, dia enggan membuang tenaga memikirkan kewujudan pihak yang mencetuskan spekulasi, sebaliknya menganggap perkara itu sebagai lumrah kehidupan.
“Kita manusia, susah mahu puaskan hati semua orang. Dalam 10 orang, mesti akan ada seorang yang rasa dengki. Tetapi mahu buat bagaimana? Benda jahat tidak akan kekal. Semuanya akan berbalik juga kepada dia.
“Ujian ini pun datang daripada Allah juga. Jadi, kita ikhlaskan sahaja dan maafkan mereka. Ringkas,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai kelab peminatnya yang dianggap segelintir pihak sebagai terlalu fanatik mempertahankannya di media sosial, Hussain percaya sokongan itu lahir atas dasar rasa hormat.
“Mungkin mereka melihat cara saya melayan bapa saya. Itu satu rezeki buat saya. Apabila saya menghargai bapa, mereka (peminat) akan pertahankan saya habis-habisan. Mereka sudah macam askar saya.
“Kadang-kadang ada peminat di luar sana yang tidak mempunyai bapa. Jadi, apabila mereka melihat keakraban saya dan bapa, mereka tumpang seronok,” jelasnya.
Terdahulu, Hussain dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian Big Stage Rocketfuel pada konsert akhir yang berlangsung malam tadi.
Kemenangan itu melayakkan Hussain membawa pulang hadiah berupa kontrak bernilai RM200,000, wang tunai RM30,000, sebuah single terbitan Rocketfuel Entertainment, peruntukan pengurusan kerjaya serta pemasaran single bernilai RM100,000 dan trofi. -UTUSAN






