KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan Jabatan Imigresen memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan segala fakta berkaitan insiden kemalangan yang meragut nyawa tiga beranak dikenal pasti dan diperjelaskan.
Beliau berkata, pihaknya amat dukacita dengan insiden tragis itu selain menyampaikan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam memastikan segala fakta berkaitan kejadian dapat dikenal pasti dan diperjelaskan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut beliau, sekiranya hasil siasatan mendapati wujud kecuaian, salah laku atau pelanggaran undang-undang, tindakan tegas hendaklah diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Katanya, seluruh warga Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat sukar susulan kejadian berkenaan.
Insiden itu sebelum ini dilaporkan mengorbankan tiga beranak selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen.
Mangsa dipercayai sedang bercuti di ibu negara ketika kejadian.
Siasatan berhubung insiden berkenaan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta sebarang faktor yang menyumbang kepada kemalangan tersebut. – UTUSAN





