KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis berhubung insiden kemalangan maut tiga sekeluarga dengan sebuah lori jabatan terbabit di Jalan Sultan Ismail di sini awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh namun ia masih dalam siasatan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya mengesahkan kes tersebut. Kita memberi kerjasama sepenuhnya dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi Nexbyte di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, tiga beranak berusia antara 53 hingga 12 tahun maut dirempuh lori Imigresen dalam kemalangan melibatkan yang turut melibatkan dua kenderaan lain.
Lori tanpa penumpang berkenaan dipandu lelaki berusia 43 tahun yang sedang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi tujuan mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.
Lori tersebut dipercayai telah memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dalam keadaan lampu beacon dan siren diaktifkan.
Pada masa yang sama, sebuah Proton Saga yang dipandu lelaki Melayu berusia 50 tahun melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.
Pemandu Proton Saga terbabit dipercayai tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran dengan lori berkenaan di tengah persimpangan.
Akibat perlanggaran tersebut, lori berkenaan telah hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat orang pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kenderaan Inokom Matrix yang dipandu lelaki berusia 38 tahun yang berhenti di persimpangan lampu isyarat ketika kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, kemalangan mengakibatkan tiga ahli keluarga berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa ialah bapa berusia 53 tahun dan dua anak perempuan masing-masing berusia 25 dan 12 tahun.
Isteri kepada mangsa lelaki terbabit berusia 55 tahun dilaporkan cedera pada bahagian kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki dan telah dihantar ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut. – UTUSAN





