KOTA KINABALU: Isu autonomi kesihatan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sedang dibincangkan secara intensif menerusi lima jawatankuasa kecil teknikal.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perbincangan terbabit meliputi aspek autonomi kesihatan, keharmonian pihak berkuasa, perjawatan, penempatan latihan dan pengurusan fasiliti kesihatan.
Katanya, hasil daripada perbincangan itu, segala cadangan daripada peringkat teknikal akan dibawa ke kementerian.
“Perkembangan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memperincikan hala tuju pembangunan kesihatan Sabah dalam konteks perundingan pelaksanaan MA63,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah (MA63) Bil 1/2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dzulkefly turut berkata, perkembangan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memperincikan hala tuju pembangunan kesihatan Sabah dalam konteks perundingan pelaksanaan MA63.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) merancang tiga fasa strategik bagi mengimbangi keperluan kesihatan rakyat Sabah, termasuk pembangunan fasiliti berimpak tinggi, pemerkasaan perjawatan dan sumber manusia serta lonjakan peruntukan kewangan.
Katanya, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.57 bilion dalam RMK-13 (RP1) bagi pelaksanaan 53 projek kesihatan di Sabah, membabitkan 46 projek sambungan dan tujuh projek baharu.
“Antara projek baharu ialah pembinaan Pusat Jantung Sabah bernilai RM125 juta, klinik kesihatan jenis lima, jenis 10 dan Tambunan 1 serta kuarters bernilai RM81.95 juta,” katanya.
Mengenai sumber manusia, Dzulkefly berkata sebanyak 607 jawatan baharu berjaya diwujudkan di Sabah setakat 1 Ogos lalu.
Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 355 jawatan membabitkan kumpulan pengurusan dan profesional, termasuk 70 jawatan pakar serta 203 jawatan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi. – UTUSAN






