PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Mara Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp), Datuk Badlisyah Abdul Ghani untuk mengetepikan perintah yang mengarahkannya membayar RM3.47 juta kepada syarikat itu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Wong Kian Kheong sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas mendapati tiada kekhilafan yang membolehkan panel terbabit campur tangan terhadap dapatan berkenaan.
Turut bersidang ialah Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Dalam alasan penghakiman yang dikeluarkan pada 12 Ogos lalu, panel tersebut memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul apabila membenarkan sebahagian tuntutan Mara selepas menilai dokumen semasa dan keterangan lisan saksi.
Pada 20 Mei 2024, Mahkamah Tinggi memerintahkan Badlisyah membayar RM3,468,215.42 kepada Mara Corp, selain menanggung rugi kos ditanggung syarikat berhubung tuntutan perhubungan perusahaan membabitkan bekas pekerja.
Menurut penghakiman Mahkamah Rayuan itu, Mara memulakan tindakan terhadap Badlisyah berhubung pelanggaran kewajipan kontrak, fidusiari dan statutori yang didakwa menyebabkan syarikat tersebut mengalami kerugian kira-kira RM21 juta.
Badlisyah dilantik sebagai GCEO Mara Corp pada 8 September 2020 dengan tanggungjawab antaranya mematuhi dasar dan prosedur syarikat, melaporkan kepada Lembaga Pengarah (BOD) serta melindungi kepentingan Mara.
Beliau juga bertanggungjawab menjalankan tugas dengan penuh kesetiaan dan ketekunan serta bertindak dalam had kuasa yang diberikan kepadanya oleh BOD.
Bagaimanapun, Mara mendapati beliau melakukan beberapa pelanggaran tidak lama selepas dilantik sebelum digantung tugas pada 19 November 2020 antaranya Badlisyah didapati bertindak melampaui kuasanya dalam pelantikan 12 individu dan melanjutkan kontrak seorang pekerja sedia ada bagi mengisi jawatan Pengarah Kanan atau peringkat C-suite.
Beliau turut didapati gagal memperoleh kelulusan BOD sebelum mengambil 24 pekerja baharu dan melanjutkan kontrak seorang pekerja sedia ada sehingga menyebabkan Mara terpaksa menanggung beban kewangan tambahan.
Kos tahunan bagi 25 pekerja berkenaan berdasarkan gaji bulanan mereka berjumlah kira-kira RM9.4 juta, sedangkan keseluruhan bajet emolumen yang diluluskan bagi 2020 hanya RM1.799 juta.
Pengambilan itu turut menyebabkan perbelanjaan kakitangan pentadbiran mencatat perbezaan 156 peratus antara perbelanjaan sebenar RM3.53 juta dengan peruntukan RM1.38 juta setakat Disember 2020.
“Pelantikan 25 pekerja itu tidak melalui proses pengambilan yang sepatutnya kerana tiada temu duga dijalankan dan Jabatan Sumber Manusia juga tidak terbabit dalam proses tersebut.
“Arahan untuk menyediakan surat pelantikan serta pelanjutan kontrak pula hanya diberikan beberapa jam sebelum calon berkenaan tiba, jika tidak serta-merta,”ujar panel itu.
Mahkamah mendapati, penambahan 24 pekerja berkenaan menyebabkan Mara menanggung beban kira-kira RM850,000 sebulan, jauh melebihi peruntukan bulanan sumber manusia dan pentadbiran sebanyak RM316,000.
“Sekiranya Mara tidak menghentikannya dengan menamatkan perkhidmatan 25 pekerja tersebut, potensi implikasi kewangan adalah jauh lebih besar daripada RM9.4 juta,” menurut penghakiman itu.
Mahkamah turut mendapati Badlisyah memberikan gambaran mengelirukan kepada Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan Lembaga Pengarah (BNRC) dalam mesyuarat pada 2 November 2020 mengenai status empat daripada 25 pekerja berkenaan.
Beliau didapati gagal memaklumkan bahawa keempat-empat individu tersebut sudah diambil bekerja oleh Mara walaupun jawatan mereka masih dikemukakan kepada BNRC untuk pertimbangan dan belum mendapat kelulusan BOD.
Panel itu berkata, tindakan pengambilan 25 orang pekerja bermula dua minggu selepas Badlisyah mula bertugas telah menimbulkan syak wasangka serius.
“Seorang GCEO yang jujur dan bijak dalam kedudukan perayu tidak akan mempercayai bahawa pengambilan 25 pekerja itu adalah untuk manfaat Mara, terutama setelah mengambil kira implikasi kewangan yang besar.
“Kegagalannya mendapatkan kelulusan amat membimbangkan memandangkan beliau mengetahui dengan jelas keperluan di bawah Had Kuasa dan batas kuasanya,” katanya.
Berhubung jumlah ganti rugi, Mahkamah Rayuan berpendapat, Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam memberikan ganti rugi itu kepada Mara kerana kerugian tersebut berpunca daripada tindakan salah Badlisyah.
“Kes ini tidak memerlukan sebarang campur tangan mahkamah rayuan kerana hakim Mahkamah Tinggi telah membenarkan tuntutan Mara dengan betul selepas menilai dokumen semasa dan keterangan lisan saksi.
“Berdasarkan bukti yang dikemukakan ketika perbicaraan, tidak boleh dikatakan bahawa kesimpulan hakim Mahkamah Tinggi itu jelas salah,” katanya.
Sehubungan itu, panel berkenaan menolak rayuan Badlisyah dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 20 Mei 2024. Mahkamah Rayuan turut memerintahkan Badlisyah membayar kos RM50,000 kepada Mara.
Peguam Jack S’ng, Chng Keng Lung, Irene Wong dan Sarah Tham mewakili Mara Corp manakala Badlisyah tidak diwakili peguam. – UTUSAN






