PETALING JAYA: Bapa kepada pelajar perempuan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat kejadian yang menimpa anaknya.
Aidi Kelang, 57, berkata anaknya, Siti Nur A’aira, ditemukan selamat dan kini masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
“Saya bersyukur kerana anak saya selamat dan sudah ditemukan. Saya dimaklumkan mengenai penemuan itu malam tadi.
“Buat masa ini, anak saya masih menerima rawatan di HKL dan doktor sedang memantau keadaannya susulan kecederaan yang dialami,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
beliau berharap siasatan dapat dijalankan dengan teliti bagi mengetahui perkara sebenar yang berlaku selain memastikan keselamatan dan kebajikan anaknya terus diberikan perhatian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada polis yang membantu usaha mencari dan mengesan anaknya.
Aidi juga berterima kasih kepada wakil ibu bapa daripada Muafakat MRSM Alor Gajah dan wakil Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA yang membantu keluarga sepanjang tempoh pencarian.
“Saya sangat menghargai segala bantuan dan keprihatinan semua pihak, khususnya polis, wakil ibu bapa dan BPM MARA yang bersama-sama membantu kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kedua-dua pelajar berusia 16 tahun itu ditemukan di Central Market, Kuala Lumpur, malam tadi.
Katanya, kedua-duanya masih menerima rawatan dan keterangan mereka akan diambil bagi membantu siasatan.
“Mereka selamat ditemukan dengan bantuan pihak Bukit Aman malam tadi,” katanya.
Pada 11 Ogos lalu, laporan kehilangan kedua-dua remaja itu dibuat di Balai Polis Rumbia pada pukul 10.46 malam.
Seorang lagi pelajar, Nur Aisy Humaira, beralamat di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor. –UTUSAN






