KUALA LUMPUR: Pengacara, Nabil Ahmad, 42, memaklumkan dia tidak terkesan dengan pelbagai bentuk kecaman yang diterimanya di media sosial gara-gara melakukan lawak jenaka yang berlebihan ketika mengendalikan program televisyen.
Menurut Nabil, apa yang berlaku sewaktu bersiaran langsung termasuklah respon netizen mengenainya dianggap sebagai sebahagian tugasnya sebagai pengacara.
“Saya menganggap ianya berkaitan tugas mengacara. Apa yang berlaku di pentas, kemudian diperkatakan pula netizen di media sosial, itu sebahagian kerja saya.
“Ia tidak menjadi masalah malah saya tidak membawanya pulang ke rumah.
“Ianya akan berulang setiap minggu. Jadi apa sahaja komen netizen, bagi saya, ianya sebahagian kerja dan tidak meninggalkan kesan kepada saya,” katanya.
Nabil berkata demikian sewaktu Majlis Pelancaran Lagu Kita sempena sambutan kemerdekaan bertempat di Astro Bukit Jalil, di sini pagi tadi.
Nabil dalam masa yang sama mengakui yang dirinya perlu mencuri perhatian bagi memastikan program tersebut diperkatakan ramai.
“Sebagai pengacara, saya nakkan perhatian. Memang sejak dulu lagi saya buat sesuatu yang memberi impak, yang menjadi tarikan dan kemudian diperkatakan. Barulah ada sesuatu yang saya berikan atas pentas.
“Kalau nak jadi hos, kena ada sesuatu yang saya buat di pentas yang mencuri perhatian umum, tak kiralah perkara baik mahupun buruk. Bagi saya, apa sahaja bentuk publisiti itu, ianya baik untuk saya.
Disoal mengenai lawak-lawak sensitif seperti ‘body shaming’ yang menjadi bahan untuk menghidupkan sesuatu program TV, Nabil memaklumkan perkara tidak membuatkan pasangan hosnya terasa hati kerana ianya telah dirancang lebih awal.
“Mungkin ramai tak tahu apa yang diperkatakan di atas pentas itu adalah berdasarkan skrip yang sudah ditulis. Tidak kiralah siapa pasangan saya, Azeva, Sherry Alhadad dan bahkan kutuk mengutuk dengan Datuk Ramli M.S, ianya telah diskripkan dan mendapat persetujuan semua pihak.
“Ini sebernya rahsia belakang pentas dan kalau boleh saya tak mahulah bagi tahu kepada penonton.
“Dan kami sebagai hos ikut aturan produksi, yang mana setiap perkara yang diperkatakan hos akan ditapis lebih dahulu oleh lembaga penapis stesen televisyen berkenaan.
“Jadi setiap yang dibualkan di pentas, ianya sudah ditapis, manakala yang tidak sepatutnya dibualkan ketika siaran langsung, jika ianya terlepas di mulut, maka stesen TV akan ‘mute’ kan,” kongsinya.
Nabil dalam pada itu memaklumkan dia sedia dijadikan bahan jenaka di pentas bagi memastikan program yang dikendalikan terus hidup dan menghiburkan.
“Alhamdulillah, hos yang dipasangkan dengan saya memang tak ada perasaan. Tak timbul isu terasa hati sebab semua yang ditonjolkan atas pentas adalah perkara yang kami bincangkan.
“Malah saya sejak dulu maklumkan kepada pasangan hos, jika ada perkara melucukan yang mereka ingin perkatakan tentang saya atas pentas, buat sahaja. Ini semua demi program tersebut.
“Tiada istilah terasa hati, dengan sesiapa pun. Tak perlu minta maaf lepas ‘membahankan’ orang. Perkara ini bagus untuk TV. Selagi perkara itu membuatkan orang ketawa, dan anda pun merasakan ianya kelakar, buat sahaja,” ujarnya. – UTUSAN






