Dunia dekorasi dalaman sentiasa berkembang seiring dengan perubahan gaya hidup dan cita rasa pemilik kediaman.
Jika dahulu ramai cenderung untuk mengekalkan satu konsep tertentu bagi mewujudkan keseragaman namun trend tersebut dilihat semakin berubah sejak kebelakangan ini.
Pemilik kediaman kini lebih berani bereksperimen dengan menggabungkan beberapa elemen berbeza bagi menghasilkan ruang yang tersendiri.
Pendekatan ini bukan sahaja membolehkan sesebuah ruang kelihatan lebih menarik malah memberi peluang kepada pemilik rumah untuk menampilkan cita rasa peribadi mereka.
Menurut Hajatul Atiqah Mohd Sabri, dia akan cuba mencari apa-apa yang kelihatan cantik dan menarik agar ia dapat dipadankan supaya sesuatu ruang itu kelihatan lebih serasi.
Katanya, dia memilih untuk menggabungkannya berikutan tidak mahu ruang dalam rumahnya kelihatan terlalu minimal namun pada masa sama dia juga tidak mahu rumahnya kelihatan terlampau sarat dengan dekorasi.
Katanya, bagi mengekalkan elemen kesederhanaan dia memilih untuk menghias mengikut kreativitinya selain akan membeli dekorasi yang boleh dipadankan agar kelihatan lebih serasi dan sedap mata memandang.
“Kalau dilihat secara keseluruhan, rumah saya ini lebih cenderung kepada konsep Maximalist berikutan terdapat gabungan warna-warna yang terang serta mempunyai pelbagai dekorasi dalam satu ruang,” katanya.

Walaupun terdapat banyak dekorasi serta pokok hijau, Hajatul Atiqah akan memastikan setiap sudut kelihatan seimbang dan selesa serta kehadiran pokok hijau dapat menghidupkan ruang tersebut.
Sofa Merah Titik Fokus Nexbyte
Ditanya mengenai sudut yang menjadi kegemarannya, Hajatul Atiqah memilih ruang televisyen kerana baginya ruang tersebut lebih menonjol berbanding ruang yang lain.
“Dalam ruang ini, sofa merah menjadi titik fokus utama, ditambah dengan hiasan serta deretan pokok-pokok hijau yang memberikan sentuhan segar dan menghidupkan suasana ruang,” katanya.
Ruang ini juga merupakan tempat dia dan keluarganya berehat dan meluangkan masa mereka bersama pada masa lapang.
Hajatul Atiqah berkata, kebanyakkan dekorasi yang terdapat di dalam rumah ini dibeli di kedai barangan terpakai atau thrifted namun terdapat juga yang masih baru.
“Ada yang saya beli di Facebook marketplace, IKEA, Carousell dan TiktokShop malah yang terkini saya beralih ke platform Pinduoduo.
“Sebenarnya, saya tidaklah menitikberatkan tentang harga yang penting setiap barang yang dibeli ia perlulah sesuai dengan gaya setiap ruang,” ujarnya.
Proses Dekorasi Yang Tidak Terburu-Buru
Hajatul Atiqah berkata, proses dekorasi rumahnya dibuat secara perlahan-perlahan walaupun ia mengambil masa hampir tiga tahun.
Katanya, proses itu bermula sebaik sahaja dia mula berpindah dan mula membeli serta menambah perabot dan dekorasi sedikit demi sedikit mengikut bajet.
Dia berpendapat proses dekorasi tidak seharusnya dilakukan sekaligus atau terburu-buru kerana baginya perjalanan untuk menghias ruangan itu boleh berkembang seiring dengan trend, masa dan citarasanya.

Malah, dia juga turut berusaha untuk memastikan setiap ruangan di dalam rumahnya kelihatan selesa untuk didiami.
Hajatul Atiqah berkata, anggaran bagi kos keseluruhan tidaklah begitu banyak berikutan terdapat barang yang dibawa dari rumah lamanya.
Dia juga membeli barangan baharu mengikut keperluan bagi sesuatu ruangan mengikut bajet yang bersesuaian.






