KOTA BHARU: Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat tidak akan menarik balik kenyataan supaya undang-undang berkaitan kes rogol suka sama suka membabitkan remaja bawah umur dikaji semula.
Mohd. Yusoff berkata, apa yang disuarakan olehnya adalah sebuah pendapat dan terpulang kepada pihak berwajib untuk menentukan sama ada ia perlu dilaksanakan atau sebaliknya.
Katanya, beliau juga tidak perlu tunduk kepada tuntutan atau gesaan mana-mana pihak yang mahu beliau menarik balik kenyataan tersebut.
“Kenapa nak tarik balik? Itu pandangan saya dan terserah kepada kerajaan sama ada mahu ambil perhatian atau tidak.
“Kalau tidak mahu meneliti undang-undang berkaitan pun tak ada masalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri sempena Perayaan Hari Keputeraan Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar, di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga sudah memberi respons terhadap isu tersebut dan memberi penekanan bahawa ia pendapat peribadi.
Nexbyte sebelum ini melaporkan, Penasihat DAP, Lim Guan Eng mendesak Mohd. Yusoff supaya menarik balik cadangan supaya wanita yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.
Guang Eng berkata, Mohd. Yusoff juga wajar memohon maaf kerana cadangan itu disifatkan tidak sensitif terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan. – UTUSAN






